JOHOR BAHRU : Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) berharap Barisan Nasional (BN) dapat mempertimbangkan sekurang-kurangnya dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang.
Ketua Belia PPP Malaysia, Sathiah Sudakaran, berkata permintaan itu wajar dipertimbangkan memandangkan parti berkenaan kekal setia bersama BN sejak penubuhannya selain terus memainkan peranan membantu gabungan itu dalam menghadapi pelbagai pilihan raya.
Beliau berkata, komitmen PPP turut dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini apabila jentera parti dari seluruh negara digerakkan bagi membantu kempen calon-calon BN.
"Kesetiaan dan pengorbanan parti-parti komponen tidak seharusnya hanya dihargai ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui peluang yang adil untuk mewakili BN sebagai calon.
"Pemberian sekurang-kurangnya dua kerusi DUN kepada PPP bukanlah satu tuntutan yang keterlaluan, sebaliknya pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan parti itu yang sentiasa berdiri teguh bersama BN.
"Langkah itu juga membuktikan bahawa BN menghargai setiap parti komponennya berdasarkan kesetiaan, kemampuan dan rekod perkhidmatan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PPP mempunyai barisan pemimpin yang berwibawa, berintegriti serta jentera akar umbi yang komited untuk membawa kemenangan kepada BN sekiranya diberi peluang bertanding.
Katanya, parti itu bersedia memikul amanah dengan penuh tanggungjawab dan bekerja keras demi kepentingan rakyat serta kejayaan gabungan.
"Memberikan peluang kepada PPP untuk bertanding di Negeri Sembilan bukan sahaja akan memperkukuhkan gabungan, malah membuktikan bahawa setiap parti yang setia dan bekerja keras akan diberikan pengiktirafan yang sewajarnya.
"PPP telah membuktikan kesetiaan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata. Kini sudah tiba masanya kesetiaan itu diterjemahkan kepada peluang untuk terus berkhidmat kepada rakyat sebagai calon BN di Negeri Sembilan," katanya.
























