BH Online
Ringkasan Berita

Calon BN bukan kitar semula tapi gabungan baharu dan lama - Khaled Nordin

KLUANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon ‘kitar semula’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya menegaskan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu adalah formula terbaik untuk mentadbir negeri.
Calon BN bukan kitar semula tapi gabungan baharu dan lama - Khaled Nordin

Khaled Nordin menyerahkan replika kunci motosikal pada pemenang cabutan bertuah sempena Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kluang hari ini. - Foto NSTP/Azizi Majid

KLUANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menolak dakwaan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon 'kitar semula' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya menegaskan gabungan calon berpengalaman dan muka baharu adalah formula terbaik untuk mentadbir negeri.

Pemilihan calon tidak seharusnya dinilai berdasarkan sama ada seseorang itu pernah bertanding atau memegang jawatan sebelum ini, sebaliknya kemampuan serta rekod perkhidmatan mereka.

"Kalau kita beri semua calon baharu, itu macam kita melakukan satu percubaan. Kita tidak mampu mengambil risiko sedemikian.

"Atas sebab itu, yang terbaik ialah ada gandingan dan gabungan antara calon baharu dengan yang lama," katanya selepas Karnival Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di sini, hari ini.

Mohamed Khaled mengulas kritikan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa UMNO membariskan ramai calon "kitar semula" pada PRN Johor sehingga tidak mencerminkan pembaharuan dalam parti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, matlamat BN bukan untuk mempamerkan seramai mungkin calon baharu semata-mata, tetapi memastikan individu yang dipilih mampu mentadbir dan meneruskan agenda pembangunan negeri jika diberi mandat oleh rakyat.

"Pada masa sama, bukan semua calon lama tidak berprestasi. Ada yang terus bekerja dengan baik dan memberi sumbangan. Yang penting ialah keupayaan serta rekod perkhidmatan, bukannya sama ada seseorang itu lama atau baharu," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan