BH Online
Ringkasan Berita

'Itulah bezanya pejuang dengan pengejar jawatan' - Pemuda UMNO sindir bekas ADUN Layang-Layang

KLUANG: Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam kecewa tetapi menghormati keputusan bekas ADUN Layang-Layang, Abdul Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar UMNO dan menyertai BERSATU semalam.
'Itulah bezanya pejuang dengan pengejar jawatan' - Pemuda UMNO sindir bekas ADUN Layang-Layang

Bekas ADUN Layang-Layang, Abdul Mutalip Abd Rahim (kanan), mengumumkan keluar UMNO semalam dan menyertai BERSATU. - Foto NSTP

KLUANG: Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam kecewa tetapi menghormati keputusan bekas ADUN Layang-Layang, Abdul Mutalip Abd Rahim mengumumkan keluar UMNO dan menyertai BERSATU semalam.

Ketuanya, Hafiz Shukor, berkata setiap keputusan politik terutama membabitkan seseorang tidak dicalonkan semula, wajar dinilai secara terbuka berdasarkan prinsip, masa dan punca tindakan itu dilakukan.

Menurutnya, tindakan Abdul Mutalip meninggalkan UMNO dan menyertai parti lain selepas tidak dipilih sebagai calon sememangnya amat mengecewakan.

"Ia menimbulkan persoalan yang munasabah iaitu adakah perjuangan selama ini benar-benar berasaskan prinsip, atau hanya bertahan selagi jawatan dan pencalonan masih diberikan?

"Perbezaan antara seorang pejuang dengan pengejar jawatan tidak terserlah ketika seseorang berada di puncak kuasa tetapi terbukti apabila parti membuat keputusan yang tidak memihak kepada kehendak peribadinya.

Pengejar jawatan cari bahtera baharu

"Seorang pejuang akan terus berdiri bersama perjuangan walaupun tidak lagi menjadi calon. Seorang pengejar jawatan pula akan mula mencari bahtera baharu apabila peluang peribadinya tidak lagi dipenuhi.

"UMNO bukan sekadar platform sementara dalam perjalanan politik beliau. Melalui UMNO, beliau diberikan kepercayaan bertanding dan berkhidmat sebagai ADUN selama beberapa penggal, malah pernah diberikan amanah sebagai EXCO," katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, peluang dan kedudukan bukan terhasil daripada kekuatan seorang individu semata-mata.

HAFIZSYUKOR
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Hafiz Shukor. - Foto FB

Sebaliknya, Hafiz berkata, di belakang setiap kemenangan terdapat ribuan ahli, petugas dan jentera parti berkorban masa, tenaga serta wang ringgit demi mempertahankan calon dan bekerja tanpa mengenal penat.

"Jika keputusan meninggalkan parti dibuat atas dasar perbezaan prinsip, mengapa perbezaan itu hanya menjadi alasan setelah pencalonan tidak lagi diberikan? Mengapa prinsip itu tidak dinyatakan ketika berjawatan, kedudukan dan peluang masih dinikmati?" soalnya.

Malam tadi, Abd Mutalip, 56, yang juga penyandang DUN Layang-Layang mengumumkan keluar UMNO dan menyertai BERSATU dalam sidang media di Pejabat BERSATU Bahagian Pagoh.

Video Terkini

Berita Berkaitan