KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menafikan dakwaan tindakan beliau keluar parti berkait dengan kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.
Beliau sebaliknya berkata, tindakan keluar parti adalah disebabkan sistem pemilihan calon yang meminggirkan anak muda.
"Cuba Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dedahkan sebelum ahli UMNO sendiri dedahkan. Kenapa Alwiyah Talib bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau umum keluar BERSATU kemudian masuk balık UMNO, tiba tiba tak sampai sebulan, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) Endau.
"Itu angkara siapa? Alwiyah umur 64 tahun. Kenapa korbankan Ketua Puteri Johor yang juga Ketua Puteri Mersing. Apakah Ketua Pemuda Mersing juga tidak layak. Kenapa BN tolak calon anak muda. Hebatkah siAlwiyah itu?"'katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Mohd Puad mendakwa perkara sama turut berlaku kepada bekas ADUN Tiram, Azizul Bachok.
"Dia orang muda. Dia baru sepenggal jadi Yang Berhormat (YB). Di saat terakhir dia digugur dan diganti oleh YB Senator Halim Sulaiman yang berumur 64 tahun. Tidakkah itu kronisme?
"Sistem pilih calon itu yang saya protes. Apabila tidak dilayan, apa lagi pilihan yang saya ada? Parti jadi milik eksklusif. Sebab itu saya melakukan kamikaze untuk sedarkan pemimpin," katanya.
Mengulas berhubung tindakan mencadangkan anaknya, Mohd Puad berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu.
"Kenapa itu jadi isu? Kalau tidak boleh, kenapa anak perempuan Ketua Bahagian Ledang boleh bertanding di Serom.
"Tidak salah mencadangkan anak yang terlatih sebagai calon. Mohd Ali melatih anak perempuannya menjadi peninju. Sudah tentu anak itu dibawa masuk gelanggang selepas dia cukup bersedia untuk bertempur," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Asyraf Wajdi mendedahkan Mohd Puad meninggalkan parti kerana gagal mendapatkan pencalonan untuk anaknya di DUN Rengit, bukan berpunca daripada dakwaan campur tangan Istana dalam urusan UMNO Johor.
Beliau berkata, Mohd Puad pernah menghantar mesej panjang kepadanya menyatakan hasrat untuk keluar parti dan mengkritik UMNO sekiranya kepimpinan tertinggi parti tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon di DUN Rengit.
Asyraf Wajdi berkata, adalah tidak wajar bagi seorang pemimpin yang berpengalaman mensyaratkan anaknya perlu dicalonkan bagi menggantikan tempatnya di DUN Rengit.
Beliau juga mendakwa tindakan mengugut untuk meninggalkan UMNO apabila kehendak peribadi tidak dipenuhi bukan kali pertama dilakukan Mohd Puad.
























