BH Online
Ringkasan Berita

PRN Johor, kerusi DUN hak parti, bukan penyandang - Noor Azleen

JOHOR BAHRU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah hak parti dan bukan hak mana-mana individu mahu pun penyandang kerusi berkenaan.
PRN Johor, kerusi DUN hak parti, bukan penyandang - Noor Azleen

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros. - Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor adalah hak parti dan bukan hak mana-mana individu mahu pun penyandang kerusi berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, hanya pucuk pimpinan parti yang ada hak prerogatif atau hak sewajarnya untuk menentukan siapa calon dan kerusi DUN mana hendak ditandingi.

Beliau sekali gus menyelar tindakan bekas Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang dilihat seolah tidak berpuas hati apabila anaknya tidak terpilih sebagai calon kerusi DUN Rengit yang kini disandangnya.

"Beliau buat keputusan untuk tidak bertanding lagi kerana faktor umur itu kita terima, hormat dan kita berterima kasih atas segala jasa beliau sebagai wakil rakyat dan juga sebagai Speaker DUN.

"Justeru, untuk menentukan siapa yang wajar parti letakkan sebagai calon, bukan hak beliau sebab kerusi adalah hak parti dan pucuk pimpinan parti yang wajar tentukan.

"Jadi, kalau semata-mata kerana tidak puas hati, buat keputusan keluar UMNO dan dedahkan segala-galanya yang tidak betul mengenai parti itu bukan tindakan seorang pemimpin yang bertanggungjawab.

"Kita sangat kesal dengan kelakuan dan tindakan yang dibuat oleh beliau. Kerusi adalah hak parti, sampai masa kita kena pulangkan balik pada parti dan parti yang tentukan siapa boleh jadi calon, bukan hak kita sebagai penyandang," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis terhadap Mohd Puad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini.

Ketika ditanya, apakah jawatan anak kepada Mohd Puad dalam parti, Noor Azleen berkata, difahamkan anak lelakinyab itu adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat, namun jawatan itu diberikan secara lantikan.

Semalam, Mohd Puad mengejutkan ramai pihak selepas membuat kenyataan 'ada yang tidak kena' pada senarai calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Kali-16.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam sebelum senarai calon itu diumumkan secara rasmi oleh Onn Hafiz.

Mohd Puad turut dilaporkan hendak membuat pengumuman penting pada Sabtu ini, namun awal pagi ini, beliau membuat kejutan dengan kenyataan keluar daripada parti UMNO serta-merta.

Beliau mengumumkan keluar daripada parti UMNO atas alasan UMNO tidak lagi bebas membuat keputusan dan mendakwa UMNO Johor dikawal oleh istana dalam membuat keputusan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kemudian dilaporkan mendedahkan bahawa Mohd Puad keluar parti kerana berkait dengan kegagalan mendapatkan pencalonan untuk anaknya di DUN Rengit, bukan berpunca daripada dakwaan campur tangan Istana dalam urusan UMNO Johor.

Video Terkini

Berita Berkaitan