KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj, berkata pemimpin politik perlu bertanggungjawab dan berjaga-jaga dalam menjaga keharmonian, lebih-lebih lagi pada musim Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Menurut beliau, tidak wajar sekiranya rakyat terus diperalatkan demi kepentingan politik peribadi atau mana-mana parti politik kerana tindakan berkenaan akan mencetuskan pelbagai isu yang perlu ditangani.
"Sesiapa sahaja calon yang bertanding, tunjukkan kehebatan anda dari segi hujah, keterampilan, idea dan apakah dasar yang ingin dibawa kerana itu lebih penting daripada menyerang.
"Kita tidak boleh peralatkan rakyat demi politik kita kerana ini akan menjadi satu masalah yang perlu ditangani dan inilah kerisauan saya, termasuk dalam parti saya sendiri," katanya ketika ditemui dalam Majlis Hi-Tea bersama Media, di sini, hari ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangannya mengenai landskap politik semasa yang dilihat menjadi punca utama kepada perpecahan dan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat.
"Kewujudan banyak parti politik pada masa kini boleh melahirkan puak-puak tertentu yang cenderung menyerang satu sama lain, sehingga mengheret masyarakat menjadi sebahagian daripada konflik yang perlu dielakkan.
"Sehubungan itu, pada saya, kita perlu menekankan kepentingan untuk mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam mengamalkan sistem demokrasi.
Tambahnya, tindakan beralih kepada politik matang berasaskan dasar itu dilihat sebagai peranan penting dalam memelihara dan memperkukuh perpaduan dalam negara.
























