bhpendidikan@bh.com.my
Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Orang Asli Nurul Hidayah membuka lembaran baharu pendidikan masyarakat Orang Asli apabila menjadi sekolah menengah agama pertama yang dikhususkan kepada komuniti itu di negara ini.
Beroperasi di Kampung Kenang Baru, Sungai Siput, Perak, institusi itu menggabungkan pendidikan agama dan akademik bagi melahirkan generasi Orang Asli Islam yang berilmu serta berdaya saing.
Pengetuanya, Meor Rozman Kamarun Ariffin, berkata SMAR yang didaftarkan secara sah pada April 2013 adalah kesinambungan kepada Sekolah Rendah Agama Rakyat Orang Asli (SRAROA) Nurul Hidayah yang didaftarkan secara rasmi pada November 1997.
Katanya, kedua-dua institusi itu kini bergerak seiring apabila SRAROA menyediakan pendidikan di peringkat rendah, manakala SMAR meneruskan pembelajaran di peringkat menengah.
"Pada asalnya, sekolah ini diwujudkan sebagai medium dakwah kepada masyarakat Orang Asli, khususnya saudara baharu, supaya mereka mendapat bimbingan agama secara lebih mendalam. Namun kini, tumpuannya berkembang dengan menggabungkan pendidikan agama dan akademik," katanya kepada BH.
Beliau berkata, sebelum SRAROA ditubuhkan, pengajian Fardu Ain dan Fardu Kifayah dilaksanakan secara tidak formal menerusi Kelas al-Quran dan Fardu Ain Orang Asli di surau kampung yang dikendalikan mubaligh Islam Orang Asli lantikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
"Selepas didaftarkan pada 1997, SRAROA mengintegrasikan kurikulum Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain mendaftarkan murid menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI).
"Pada 2002, kelas pengajian lanjutan Fardu Ain dimulakan dengan sembilan pelajar perintis dan jumlah keseluruhan pelajar SRAROA serta program berkenaan meningkat kepada 321 orang menjelang 2008 sebelum ditamatkan pada 2014 susulan penaiktarafan institusi ini sebagai sekolah menengah," katanya.
Meor Rozman berkata, SMAR kini mempunyai 148 pelajar menengah yang mengikuti sesi pagi, manakala sesi petang membabitkan 144 murid bagi pengajian KAFA.

Tambahnya, syarat utama kemasukan ialah pelajar mestilah berketurunan Orang Asli dan beragama Islam, selain keutamaan diberikan kepada keluarga dalam kategori B40.
"Daripada 148 pelajar menengah ketika ini, seramai 95 orang tinggal di asrama, manakala selebihnya berulang-alik dari kampung berhampiran.
"Di sekitar sekolah ini terdapat kira-kira lapan perkampungan Orang Asli dan ada pelajar yang datang setiap hari, manakala mereka dari luar daerah Sungai Siput kebanyakannya duduk di asrama," katanya.
Beliau berkata, sekolah itu terbuka kepada anak-anak Orang Asli beragama Islam di seluruh Perak, selain turut menerima sebahagian kecil pelajar dari luar negeri itu.
"Pengambilan pelajar dibuat menerusi hebahan media sosial, selain kerjasama dengan sekolah sekitar Kuala Kangsar serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang turut membantu menyalurkan sebahagian bantuan kewangan kepada pelajar," katanya.
Dibiaya dana zakat
Meor Rozman berkata, penubuhan SMAR mencerminkan komitmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dalam memperluaskan akses pendidikan agama kepada masyarakat Orang Asli secara lebih sistematik.
Melalui dana zakat, MAIPk membiayai pembinaan kompleks baharu sekolah yang merangkumi blok akademik, asrama, surau dan kantin dengan kos keseluruhan RM4.2 juta, selain menanggung kos operasi tahunan sebanyak RM2.5 juta bagi tahun 2026.
Beliau berkata, SMAR Nurul Hidayah kini berkembang sebagai institusi pendidikan progresif apabila berjaya melahirkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam dan agama termasuk SPM, Thanawi dan I'dadi.
Katanya, peranan sekolah itu turut diperluaskan menerusi penubuhan Akademi Lanjutan Fardu Ain (ALFA) Orang Asli pada November 2024 bagi menyediakan pengajian agama kepada lepasan sekolah, sama ada bujang mahupun sudah berkeluarga.
"Dari aspek kurikulum, SMAR Nurul Hidayah memberi penekanan kepada pendidikan berorientasikan peperiksaan awam, khususnya SPM, dengan menggunakan kurikulum yang diselaraskan Bahagian Pendidikan JAIPk dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.
Terdahulu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dalam majlis perasmian sekolah berkenaan baru-baru ini bertitah, penubuhan SMAR Orang Asli Nurul Hidayah adalah mercu tanda penting dalam usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri Perak.
























