BH Online
Ringkasan Berita

MSU sumbang RM500,000 kepada pelajar cemerlang STPM 2025

KUALA LUMPUR: Management and Science University (MSU) menerusi Yayasan MSU menyumbang RM500,000 kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.
MSU sumbang RM500,000 kepada pelajar cemerlang STPM 2025

Fadhlina (enam kanan) menyampaikan sumbangan RM1,000 dan biasiswa penuh daripada Yayasan MSU kepada Hazaril sambil disaksikan Kah Woh (dua kanan), Dr Md Amin (lapan kanan) dan Dr Mohd Shukri (tujuh kanan). - Foto ihsan MSU

KUALA LUMPUR: Management and Science University (MSU) menerusi Yayasan MSU menyumbang RM500,000 kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025.

MSU berkata inisiatif itu diperkenalkan bagi kohort STPM 2025 sebagai usaha menghargai kecemerlangan pelajar, selain menggalakkan lebih ramai calon mengikuti pengajian Tingkatan Enam.

Katanya, sebanyak RM60,000 diberikan kepada enam Kolej Tingkatan Enam dan enam Pusat Tingkatan Enam Mod 2 dan Mod 3 Terbaik Kebangsaan STPM 2025 dengan masing-masing menerima RM5,000.

"MSU turut menawarkan biasiswa bernilai RM15,000 kepada calon dari Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025 yang diterima masuk ke MSU bagi mengikuti program ijazah sarjana muda.

"Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 (Kategori Orang Asli), Hazaril Hakimi Hassan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh, Pahang turut menerima sumbangan RM1,000 berserta biasiswa penuh Yayasan MSU," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warga Asing (SKBMW) itu disempurnakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad serta Presiden dan Pengasas MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

MSU memaklumkan pihaknya menyokong usaha Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Pelan Strategik KPM (PSKPM) 2024-2030 untuk memastikan akses pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau lokaliti bagi membolehkan bidang pendidikan terus menjadi sektor utama kerajaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan