BH Online
Ringkasan Berita

UPM perkenal teknologi pembedahan ikan

KAEDAH pembedahan umumnya sering dikaitkan dengan manusia atau haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Namun, tahukah anda bahawa ikan juga boleh menjalani prosedur pembedahan yang kompleks bagi merawat penyakit, membuang ketumbuhan atau membaiki kecederaan fizikal?
UPM perkenal teknologi pembedahan ikan

Mohd Fuad menunjukkan hasil kaedah pembedahan ikan berasaskan sistem anestesia kitar semula atas ikan tilapia sebagai model kajian. Gambar ihsan UPM

KAEDAH pembedahan umumnya sering dikaitkan dengan manusia atau haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Namun, tahukah anda bahawa ikan juga boleh menjalani prosedur pembedahan yang kompleks bagi merawat penyakit, membuang ketumbuhan atau membaiki kecederaan fizikal?

Baru-baru ini, Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta satu lagi pencapaian dalam bidang veterinar akuatik apabila memperkenalkan kaedah pembedahan ikan berasaskan sistem anestesia kitar semula yang disifatkan antara yang pertama dibangunkan di Malaysia.

Dikenali sebagai ' Fish Anesthetic Delivery System' , prosedur itu dijangka membuka dimensi baharu dalam rawatan hidupan akuatik, sekali gus memperkukuh keupayaan negara dalam bidang kesihatan ikan, akuakultur dan keselamatan makanan.

Apa yang lebih menarik, prosedur itu boleh dilakukan di luar air tanpa menjejaskan nyawa ikan. Malah inovasi berkenaan membuka lembaran baharu dalam bidang veterinar akuatik menerusi pengenalan kaedah pembedahan ikan berasaskan sistem anestesia kitar semula yang disifatkan antara yang pertama dibangunkan di Malaysia.

Teknologi berkenaan bukan sahaja membantu meningkatkan standard rawatan hidupan akuatik, malah berpotensi memberi impak besar kepada industri akuakultur negara yang semakin berkembang, khususnya dalam aspek kesihatan ikan, pembiakan dan keterjaminan bekalan makanan.

ikan upm2
Dikenali sebagai ' Fish Anesthetic Delivery System' , prosedur itu dijangka membuka dimensi baharu dalam rawatan hidupan akuatik. Gambar ihsan UPM

Pegawai Veterinar, Jabatan Pengajian Klinikal Veterinar, Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) UPM, Dr Mohd Fuad Matori berkata, sistem berkenaan adalah hasil penyelidikan berterusan selama lebih 15 tahun dalam bidang kesihatan ikan dan akuakultur.

Beliau berkata, kaedah itu menggunakan mekanisme yang membekalkan air beroksigen bersama bahan anestetik terus ke sistem pernafasan ikan sepanjang prosedur dijalankan.

"Kaedah ini menggunakan mekanisme yang membekalkan air beroksigen bersama bahan anestetik terus ke sistem pernafasan ikan sepanjang prosedur dijalankan.

"Ia membolehkan pembedahan dilakukan di luar air tanpa menjejaskan bekalan oksigen kepada ikan," katanya.

Menurut beliau, demonstrasi prosedur laparotomi atau pembedahan membuka rongga abdomen dilakukan ke atas ikan tilapia sebagai model kajian, membabitkan beberapa proses

utama termasuk induksi anestesia, insisi, jahitan dan rawatan pasca pembedahan.

Katanya, keseluruhan prosedur mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit sebelum ikan

dipindahkan ke tangki pemulihan khas.

Selepas pembedahan, ikan akan dipantau dalam tangki khas selama 10 hingga 14 hari bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar sebelum benang jahitan dibuang. Tempoh penyembuhan penuh pula boleh mengambil masa sehingga 30 hari bergantung kepada keadaan ikan dan jenis prosedur yang dijalankan.

Mohd Fuad berkata, penggunaan antiseptik dan antibiotik sepanjang proses rawatan membantu mengurangkan risiko jangkitan, selain sampel biopsi turut diambil bagi tujuan analisis mikroskopik dan penyelidikan lanjut.

Walaupun kedengaran seperti teknologi yang hanya digunakan di makmal penyelidikan, aplikasi sistem ini sebenarnya jauh lebih luas. Kaedah berkenaan kini mula digunakan dalam rawatan ikan hiasan bernilai tinggi seperti koi, ikan emas dan arowana.

Perkembangan ini menyaksikan prosedur berkenaan tidak lagi terhad untuk tujuan penyelidikan tetapi juga boleh dilakukan bagi merawat kecederaan dalaman serta membaiki struktur fizikal ikan.

Inovasi ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada industri akuakultur negara yang semakin berkembang, khususnya dalam aspek rawatan, pembiakan dan pengurusan kesihatan hidupan akuatik.

Keupayaan merawat ikan bernilai tinggi ini dilihat mampu memberi manfaat besar kepada penternak, pengusaha akuakultur dan pemilik ikan hiasan yang sering berdepan kerugian apabila ikan mengalami masalah kesihatan yang sukar dirawat menggunakan kaedah konvensional.

Dalam konteks yang lebih luas, pembangunan teknologi seperti ini turut menyokong usaha meningkatkan produktiviti dan kelestarian industri akuakultur negara. Kesihatan ikan yang lebih terjamin bukan sahaja membantu mengurangkan kadar kematian, malah meningkatkan kualiti pengeluaran serta pulangan ekonomi kepada industri.

Mohd Fuad berkata, pembangunan kepakaran dalam bidang kesihatan ikan perlu terus diperkasakan memandangkan sektor akuakultur mempunyai hubungan rapat dengan industri perikanan dan keterjaminan makanan negara.

"Kita perlu bersedia dengan kepakaran dan teknologi yang mencukupi bagi menghadapi cabaran masa depan, terutama dalam memastikan industri perikanan negara terus mampan dan berdaya saing," katanya.

Inovasi Fish Anesthetic Delivery System bukan sahaja memperluaskan pilihan rawatan bagi hidupan akuatik, malah berpotensi memberi manfaat kepada pemain industri dan komuniti yang bergantung kepada sektor perikanan dan akuakultur.

Video Terkini

Berita Berkaitan