BH Online
Ringkasan Berita

Pensyarah UMK terima Anugerah Perdana Kecemerlangan Akademik Anak Peladang YPP

KOTA BHARU: Kejayaan luar biasa seorang anak peladang meniti tangga akademik hingga ke peringkat tertinggi diraikan menerusi penganugerahan Anugerah Perdana Kecemerlangan Akademik Anak Peladang anjuran Yayasan Pelajaran Peladang (YPP) pada tahun ini.
Pensyarah UMK  terima Anugerah Perdana Kecemerlangan Akademik Anak Peladang YPP

Razman Hafifi (dua kanan) menerima Anugerah Perdana Kecemerlangan Akademik Anak Peladang anjuran YPP yang disampaikan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Pertubuhan Peladang, Nik Mohd Shaharil (empat kiri) di NAFAS Function Hall, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

KOTA BHARU: Kejayaan luar biasa seorang anak peladang meniti tangga akademik hingga ke peringkat tertinggi diraikan menerusi penganugerahan Anugerah Perdana Kecemerlangan Akademik Anak Peladang anjuran Yayasan Pelajaran Peladang (YPP) pada tahun ini.

Penerima Anugerah Perdana berkenaan, Pengarah Pusat Kokurikulum di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Razman Hafifi Redzuan, berkata anugerah yang diterimanya itu membuktikan bahawa transformasi komuniti tidak bermula di ladang semata-mata, tetapi lahir daripada bilik darjah, institusi pendidikan dan pemikiran generasi muda yang berilmu serta berwawasan.

"Malah, kejayaan sebenar bukan hanya bersandarkan pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu dipandu dengan nilai dan adab yang tinggi.

"Ilmu tanpa adab ibarat api tanpa cahaya dan adab tanpa ilmu hanyalah sinar tanpa arah," katanya.

Razman Hafifi turut berkongsi perjalanan pendidikannya yang penuh cabaran dan berbeza dengan kebanyakan adik-beradiknya yang melalui sistem pendidikan elit, sebaliknya beliau membina kejayaan melalui usaha gigih, disiplin tinggi serta doa berterusan daripada kedua ibu bapanya.

"Hasil ketekunan itu, saya muncul sebagai satu-satunya dalam keluarga yang berjaya mencapai tahap pendidikan tertinggi iaitu Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

"Perjalanan hidup saya, membuktikan bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh titik permulaan seseorang, tetapi oleh kekuatan azam serta kemampuan mengharungi cabaran kehidupan dengan penuh ketabahan," katanya.

Katanya, kini, dia bukan sahaja memimpin di peringkat universiti, malah menjadi ikon inspirasi kepada generasi muda khususnya dalam kalangan anak-anak peladang, penternak dan nelayan bahawa pendidikan adalah laluan paling berkuasa untuk mengubah nasib serta masa depan keluarga.

"Dalam dimensi yang lebih luas, Anugerah Perdana YPP ini dilihat berfungsi sebagai jambatan antara warisan dan masa depan dengan menghubungkan nilai tradisi bersama aspirasi moden.

"Penganugerahan itu turut menegaskan bahawa warisan bukan sekadar untuk diwarisi, tetapi perlu diperkasakan melalui ilmu dan kepimpinan yang mampu mencipta perubahan kepada masyarakat," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan