BH Online
Ringkasan Berita

Tiada duit bukan penghalang sambung belajar

BAGI kebanyakan anak muda, surat tawaran ke universiti adalah tiket untuk mengubah masa depan. Namun bagi sebahagian yang lain, kegembiraan itu sering bertukar menjadi kebimbangan apabila memikirkan kos pendaftaran, tambang perjalanan ke kampus dan perbelanjaan harian yang tidak mampu ditanggung keluarga.
Tiada duit bukan penghalang sambung belajar

Banyak universiti awam sedia memberi bantuan kepada pelajar mereka yang berhadapan masalah kewangan. Gambar hiasan

BAGI kebanyakan anak muda, surat tawaran ke universiti adalah tiket untuk mengubah masa depan. Namun bagi sebahagian yang lain, kegembiraan itu sering bertukar menjadi kebimbangan apabila memikirkan kos pendaftaran, tambang perjalanan ke kampus dan perbelanjaan harian yang tidak mampu ditanggung keluarga.

Justeru, bukan asing untuk mendengar kisah sedih ada anak muda yang terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian atas faktor kewangan. Namun, tindakan itu amatlah rugi kerana kebanyakan universiti awam di negara ini sebenarnya giat memperkukuh pelbagai inisiatif kebajikan bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada menyambung pendidikan peringkat tinggi akibat kemiskinan.

Komitmen itu selaras dengan ketetapan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menegaskan bahawa mahasiswa daripada keluarga miskin dan daif tidak boleh dihalang daripada mendaftar masuk ke universiti.

Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, berkata sekitar 69 hingga 70 peratus daripada 18,500 pelajar prasiswazah universiti itu terdiri daripada golongan B40 dan keluarga daif.

Katanya, UUM sentiasa bersedia dengan ekosistem bantuan yang menyeluruh bagi memastikan masalah kewangan tidak menjadi penghalang kepada pelajar meneruskan pengajian.

"Kita memang menyantuni pelajar-pelajar yang tidak mampu membayar yuran atau tidak mampu hadir untuk pendaftaran kerana masalah kewangan. Malah, bagi pelajar yang tidak dapat datang (ke kampus), kita sendiri akan pergi ambil mereka di rumah," katanya.

Tegasnya, berbekalkan maklumat lengkap kedudukan kewangan pelajar termasuk pengesahan pendapatan ibu bapa atau penjaga, universiti mengambil inisiatif memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Malah, pelbagai kerjasama strategik dilakukan dengan pelbagai pihak termasuk institusi perbankan, agensi zakat, syarikat takaful, Tabung Haji, yayasan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sebahagian dana yang ada di HEP adalah hasil derma dan dana orang ramai termasuk zakat yang menjadi tanggungjawab universiti memastikan ia disalurkan kepada pihak yang sepatutnya diberikan," katanya.

Aspek kebajikan

Hal sama ditegaskan Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Norkhalid Salimin, yang menyebut universiti itu menyediakan pelbagai bantuan kebajikan bagi membantu pelajar yang berdepan kesukaran kewangan sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, UPSI mengambil langkah memperkukuh jaringan keselamatan sosial mahasiswa menerusi pelbagai inisiatif kebajikan yang merangkumi bantuan kewangan, sokongan makanan, kemudahan pengangkutan, bantuan zakat serta kemudahan khas untuk pelajar orang kurang upaya (OKU).

"Pendekatan menyeluruh itu dilaksanakan bagi memastikan pelajar daripada golongan B40, asnaf dan mereka yang berdepan kesukaran kewangan dapat meneruskan pengajian tanpa dibebani masalah kos sara hidup atau kekangan akses kepada keperluan asas.

"Selain menyediakan bantuan kepada pelajar yang berdepan kesulitan kewangan dan musibah, UPSI turut memberi perhatian terhadap aspek kebajikan harian mahasiswa termasuk keperluan makanan, penginapan, mobiliti dan akses kepada peranti pembelajaran.

"Usaha berterusan itu mencerminkan komitmen jelas dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada pengajian akibat kemiskinan atau cabaran kewangan, sejajar dengan aspirasi memperluas akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat," katanya.

Perluas inisiatif

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain, yang menyebut universiti berkenaan turut memperluas pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan bagi memastikan kesejahteraan mahasiswa, khususnya dalam kalangan pelajar B40 dan mereka yang berdepan kekangan kewangan, sentiasa diberi perhatian sepanjang tempoh pengajian.

Katanya, sehingga kini pelbagai inisiatif sudah dan akan dilaksanakan bagi membantu meringankan beban kos pengajian serta sara hidup pelajar, termasuk sokongan awal kemasukan, bantuan kewangan berterusan, serta program berkaitan keperluan makanan harian di kampus.

"Bagi pelajar baharu yang mendaftar di UMT, universiti menyediakan pelbagai saluran bantuan bagi membantu meringankan beban kos pengajian dan sara hidup sepanjang berada di kampus.

"Ini termasuk memperkukuh aspek keselamatan makanan mahasiswa melalui pelbagai kerjasama strategik dan program khas yang menyediakan akses makanan pada harga berpatutan serta bantuan makanan percuma kepada pelajar yang memerlukan," katanya.

Katanya, sama seperti amalan di UA lain, pelajar UMT yang memenuhi syarat tertentu akan ditawarkan Program Pembangunan Siswa Sulung, iaitu inisiatif membantu pelajar dari ahli keluarga pertama yang melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Tambahnya, program itu menyediakan bantuan yuran pengajian penuh kepada pelajar daripada keluarga B40 yang layak.

Usaha ini memperlihatkan komitmen berterusan dalam memastikan akses pendidikan tinggi kekal inklusif dan menyeluruh untuk semua lapisan masyarakat.

Video Terkini

Berita Berkaitan