GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta satu lagi pencapaian penting dalam bidang penjagaan kesihatan apabila Klinik Perubatan Obesiti di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi (PKTAAB) menerima akreditasi sebagai Pusat Kerjasama Afiliasi Antarabangsa EASO bagi Pengurusan Obesiti, yang pertama di Malaysia menerima pengiktirafan berprestij berkenaan.
Akreditasi yang diberikan menerusi program `European Association for the Study of Obesity Collaborating Centres for Obesity Management (EASO COM)' itu meletakkan USM dalam kelompok pusat pengurusan obesiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Di Asia, PKTAAB kini menjadi pusat keempat menerima akreditasi berkenaan selepas di Singapura dan dua di India.
Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed, berkata pengiktirafan itu mencerminkan peranan universiti dalam menterjemahkan ilmu dan kepakaran kepada manfaat yang memberi impak kepada masyarakat.
"Pengiktirafan ini membuktikan kepakaran yang dibangunkan di Malaysia mampu menyumbang secara bermakna kepada piawaian penjagaan kesihatan global, sambil terus memenuhi keperluan komuniti tempatan," katanya.
Akreditasi berkenaan diberikan kepada pusat yang menawarkan rawatan obesiti secara tersusun dan berasaskan bukti melalui pendekatan multidisiplin, selain mengekalkan komitmen tinggi terhadap kualiti klinikal, pendidikan, penyelidikan dan penambahbaikan berterusan.
Dianugerahkan bagi tempoh dua tahun, pengiktirafan itu mengesahkan bahawa PKTAAB memenuhi piawaian ketat EASO dalam menyediakan penjagaan obesiti yang komprehensif serta mempromosikan amalan terbaik dalam bidang tersebut.
Pencapaian ini dianggap penting dalam perkembangan perubatan obesiti di Malaysia, khususnya ketika obesiti terus menjadi cabaran kesihatan awam yang utama.
Berdasarkan data kesihatan negara, Malaysia merekodkan antara kadar berat badan berlebihan dan obesiti tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus menuntut pendekatan rawatan yang lebih khusus, terselaras dan berpusatkan pesakit.
Di PKTAAB, pengurusan obesiti dilaksanakan oleh pasukan multidisiplin yang merangkumi pakar perubatan obesiti, jururawat, ahli farmasi, fisiologis senaman, pakar dietetik dan ahli psikologi.
Klinik itu menawarkan penilaian menyeluruh serta pengurusan jangka panjang kepada individu yang hidup dengan obesiti, termasuk penilaian komplikasi berkaitan obesiti, intervensi tingkah laku dan gaya hidup, pengurusan ubat-ubatan, kaunseling pemakanan, preskripsi senaman, sokongan psikologi serta rujukan untuk pembedahan bariatrik metabolik apabila diperlukan.
Pakar perubatan obesiti dan penyelaras utama permohonan akreditasi berkenaan, Dr Teoh Soo Huat, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu pencapaian besar bagi penjagaan obesiti di Malaysia.
"Akreditasi ini mengukuhkan kepentingan mengiktiraf obesiti sebagai penyakit kronik yang memerlukan rawatan berstruktur, berasaskan bukti dan berpusatkan pesakit.
"Ia juga membuktikan bahawa institusi penjagaan kesihatan Malaysia mampu memenuhi piawaian pengurusan obesiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.
Soo Huat berkata kejayaan berkenaan adalah hasil dedikasi dan kerjasama erat pasukan multidisiplin yang terbabit dalam operasi klinik berkenaan.
"Pengiktirafan ini mencerminkan usaha bertahun-tahun, kerjasama dan komitmen bersama dalam menyediakan penjagaan menyeluruh kepada individu yang hidup dengan obesiti. Ia membuktikan kepakaran serta kerja keras setiap ahli pasukan yang menyumbang kepada kejayaan ini," katanya.
Sebagai sebahagian daripada rangkaian EASO COM, PKTAAB berpeluang menyertai kerjasama pakar antarabangsa, program pertukaran profesional, inisiatif pelbagai pusat dan projek yang diterajui EASO bagi memajukan usaha pencegahan serta rawatan obesiti di peringkat global.
Selain pengiktirafan antarabangsa, akreditasi ini turut membuka peluang baharu untuk kerjasama strategik, perkongsian ilmu dan penyelidikan yang dapat menyumbang kepada kemajuan penjagaan obesiti di Malaysia dan rantau Asia secara keseluruhannya.
























