KUALA LUMPUR: Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang baru-baru ini didedahkan dengan kemahiran asas bantuan kecemasan menerusi program Hands-on Heroes 2026 – Community Outreach, anjuran Emergency Medicine Society, Universiti Malaya Medical Society (EMSIG UM MEDSOC) dengan kerjasama Inisiatif MyResQ UM.
Inisiatif MyResQ UM adalah satu program komuniti UM yang bertujuan melatih orang awam memberikan bantuan kecemasan awal.
Pengarah bersama projek berkenaan, Lau Jie Ying, berkata program itu diadakan bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi situasi kecemasan.
Katanya, menerusi program itu peserta didedahkan kepada beberapa kemahiran asas kecemasan termasuk bantuan pernafasan kecemasan (CPR), bantuan mangsa tercekik, pembalutan luka serta pendidikan kesihatan melalui pendekatan praktikal dan interaktif.
"EMSIG UM MEDSOC membimbing sendiri peserta secara langsung di setiap stesen latihan bagi memastikan mereka memahami teknik yang betul serta mampu mengaplikasikannya dalam situasi sebenar.
"Ilmu CPR tidak seharusnya terhad kepada petugas kesihatan semata-mata kerana orang awam juga berpotensi menjadi individu pertama yang dapat membantu mangsa ketika kecemasan.
"Orang awam yang diberikan pendedahan dan latihan yang mencukupi mampu bertindak sebagai penyelamat sebelum bantuan perubatan tiba," katanya.
Katanya, program itu turut menjadi platform memperkenalkan inisiatif MyResQ yang bertujuan membudayakan kesiapsiagaan kecemasan dalam komuniti melalui pendidikan, latihan dan jaringan sokongan masyarakat.
Manakala, pemilihan PPR Desa Rejang sebagai lokasi program dilihat bertepatan dengan matlamat memperluaskan akses pendidikan kecemasan kepada komuniti setempat.
"Program seumpama ini diharap dapat membantu melahirkan komuniti yang lebih bersedia, berani dan prihatin dalam menghadapi situasi kecemasan, sekali gus meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa melalui tindakan awal yang tepat," katanya.
Program itu yang turut dijayakan dengan sokongan Yayasan Inovasi Malaysia itu disertai 33 ahli EMSIG UM MEDSOC, dilaksanakan di bawah bimbingan Pensyarah Fakulti Perubatan, Dr Aida Bustam dan Dr Hafyzuddin Mohd Yusof.
























