PUTRAJAYA: Sebahagian besar projek penyediaan infrastruktur bagi menyambut kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun untuk sesi persekolahan 2027 disiapkan lebih awal daripada jadual.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata perkembangan itu membuktikan kesiapsiagaan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memastikan kemudahan sekolah berada pada tahap terbaik sebelum murid memulakan sesi persekolahan tahun hadapan.
"Tahniah kerana dalam persiapan kita, khususnya persiapan infrastruktur kita menerima kehadiran anak-anak enam tahun di darjah satu tahun hadapan, projek-projek sudah pun ada yang siap 'ahead of time'. Maknanya jauh lebih awal.
"Terima kasih kepada Ketua Setiausaha (KSU) dan pasukan yang bertungkus-lumus memastikan persiapan kita untuk menyambut anak-anak ini, khususnya infrastrukturnya, berjalan dengan sangat baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KPM di sini, hari ini.
Fadhlina berkata, beliau bersama Ketua Setiausaha KPM akan turun padang ke beberapa sekolah yang projek infrastrukturnya siap lebih awal bagi meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan sebelum sesi persekolahan bermula.
Dalam pada itu, beliau berkata persiapan lain termasuk penempatan guru dibuat berdasarkan pengumuman awal berkaitan pelaksanaan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu.
Katanya, sambutan ibu bapa terhadap inisiatif itu juga kekal menggalakkan apabila KPM masih menerima pertanyaan dan pendaftaran bagi kemasukan murid enam tahun.
"Setakat semalam, kita masih lagi menerima pertanyaan dan pendaftaran untuk anak-anak enam tahun ini. Sepanjang tahun ini masih ada ibu bapa yang mahu terus mendaftarkan anak-anak mereka.
"Setakat ini kemasukan dan pendaftaran ini masih popular dan kita mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa kerana memberikan kepercayaan kepada KPM," katanya.
Beliau berkata, KPM yakin proses kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun akan menjadi lebih teratur pada tahun akan datang berikutan persiapan yang semakin kemas dan tersusun.
Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina berkata, KPM akan melaksanakan program reformasi sekolah bermula minggu depan.
Katanya, menerusi program berkenaan, 10 sekolah di setiap daerah akan dipilih sebagai projek rintis bagi mengangkat mutu pendidikan serta kemenjadian murid.
Setiap daerah akan memilih lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah untuk dibangunkan sebagai sekolah terbaik di daerah masing-masing.
Jelasnya, setiap sekolah yang terpilih berpeluang menerima peruntukan sehingga RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan mengikut keperluan dan perancangan masing-masing.
"Setiap daerah akan mengangkat 10 sekolah iaitu lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah yang harus menjadi sekolah terbaik di daerah masing-masing.
"Saya sudah melalui beberapa sesi bersama sekolah-sekolah ini dan nampaknya masing-masing cukup bersemangat kerana tawaran kita adalah sehingga RM100,000 bagi setiap sekolah untuk melakukan pelbagai perubahan dan reformasi," katanya.
























