BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: MIC sasar tawan dua kerusi DUN ditandingi

SEREMBAN: MIC berharap dapat membantu Barisan Nasional (BN) dalam misi membentuk kerajaan negeri menerusi dua calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, 1 Ogos ini.
PRN NS: MIC sasar tawan dua kerusi DUN ditandingi

Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: MIC berharap dapat membantu Barisan Nasional (BN) dalam misi membentuk kerajaan negeri menerusi dua calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, 1 Ogos ini.

Pengerusi MIC Negeri Sembilan, P Supramanium, berkata jentera parti menggerakkan usaha dan bekerja keras menemui pengundi dalam usaha meraih keyakinan mereka menyokong BN, seterusnya memastikan kemenangan.

"Kempen yang kita laksanakan menampakkan momentum amat positif. Penerimaan rakyat pelbagai kaum terutama masyarakat India terhadap calon BN daripada MIC sangat positif.

"Jujur saya katakan, banyak perubahan ketara dilihat dari segi sokongan terhadap BN berbanding pada pilihan raya lalu.

"Mungkin momentum sokongan terhadap MIC yang berlaku di Johor memberi impak kepada pengundi di sini.

"Daripada maklum balas pengundi, mereka mahukan BN kembali mentadbir Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, MIC mempertaruhkan dua calonnya iaitu A Achutan yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung dalam Parlimen Port Dickson dan Datuk Thinalan T Rajagopalu di DUN Seremban Jaya dalam Parlimen Rasah.

Supramanium berkata, semangat jentera parti semakin meningkat selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan dua calon MIC terbabit akan dilantik sebagai EXCO sekiranya menang dan BN dapat membentuk kerajaan negeri pada 1 Ogos.

"Pengerusi BN dah umum calon MIC berpeluang jadi EXCO jika menang dan ini membakar lagi semangat jentera parti untuk membantu calon-calon meraih kemenangan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua calon yang dipertaruhkan itu adalah berkaliber dengan Thinalan adalah anak jati Rasah dan mempunyai darah politik kerana bapanya, mendiang T Rajagopalu adalah bekas EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.

Supramanium berkata, pengaruh mendiang bapa amat menebal dalam jiwa Thinalan dan dikenang oleh masyarakat India di Seremban Jaya, sekali gus memberinya peluang meraih melakar kemenangan.

"Achutan adalah anak tempatan di Sri Tanjung dan sudah dikenali ramai penduduk di situ. Jadi saya yakin kita akan dapat tawan kedua-dua kerusi berkenaan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan