BH Online
Ringkasan Berita

Tragedi basikal lajak wajar jadi peringatan, ibu bapa perlu pantau aktiviti anak

KUALA LUMPUR: Tragedi lapan kanak-kanak maut ketika bermain basikal lajak di Johor beberapa tahun lalu seharusnya menjadi peringatan kepada ibu bapa mengenai bahaya aktiviti berkenaan yang masih berlaku sehingga kini.
Tragedi basikal lajak wajar jadi peringatan, ibu bapa perlu pantau aktiviti anak

Tan Sri Lee Lam Thye

KUALA LUMPUR: Tragedi lapan kanak-kanak maut ketika bermain basikal lajak di Johor beberapa tahun lalu seharusnya menjadi peringatan kepada ibu bapa mengenai bahaya aktiviti berkenaan yang masih berlaku sehingga kini.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kes itu perlu dijadikan pengajaran bahawa penggunaan basikal lajak di jalan raya bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya boleh mengundang risiko serius termasuk kecederaan parah, kecacatan kekal malah kehilangan nyawa pada usia muda.

Beliau berkata kebimbangan terhadap aktiviti itu kembali timbul susulan laporan BH baru-baru ini mengenai tindakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JPST) yang menyita 25 basikal lajak serta mengeluarkan 24 saman terhadap individu terbabit.

Katanya, jumlah sitaan dan saman berkenaan menunjukkan masih terdapat kanak-kanak serta remaja yang terdedah kepada aktiviti berisiko tinggi itu, terutama apabila dilakukan di jalan raya yang turut digunakan pengguna lain.

"Diharapkan polis dapat mengambil langkah menghubungi ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang terbabit bagi memberikan teguran, nasihat serta meningkatkan kesedaran mengenai bahaya aktiviti berkenaan.

" Ibu bapa juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam memantau pergaulan dan aktiviti harian anak-anak, selain memastikan mereka tidak terbabit dengan kegiatan yang boleh mengancam keselamatan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam Thye berkata aktiviti berbasikal lajak di jalan raya bukan sahaja mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kemalangan, malah boleh memberi kesan jangka panjang sekiranya berlaku kecederaan serius yang menjejaskan masa depan mereka.

Beliau berkata kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, masyarakat dan pihak berkuasa amat penting dalam menangani isu ini supaya tragedi sama tidak berulang.

Katanya, keselamatan anak-anak perlu menjadi keutamaan dan usaha pencegahan harus dilakukan lebih awal bagi mengelakkan penyesalan selepas sesuatu kejadian berlaku.

Video Terkini

Berita Berkaitan