KUALA TERENGGANU: Slogan rasmi perhimpunan RXZ Members 8.0 yang sebelum ini membawa mesej 'Yang Kental Pasti Sampai' kini ditukar kepada 'Yang Santai Pasti Sampai' sebagai usaha memastikan keselamatan peserta menjadi keutamaan serta mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang program berlangsung.
Penganjur RXZ Members 8.0, Mohamad Faizal Mat Ali, berkata perubahan slogan itu bukan sekadar pembaharuan, sebaliknya membawa mesej jelas kepada semua peserta supaya mengamalkan budaya tunggangan berhemah ketika dalam perjalanan ke lokasi program.
Beliau berkata penganjur menyasarkan sifar kemalangan maut sepanjang penganjuran yang dijadual berlangsung selama dua hari bermula Jumaat di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.
"Tagline kali ini bukan sekadar slogan, tetapi membawa mesej supaya semua peserta lebih berhemah di jalan raya.
"Kita mahu budaya menunggang secara selamat menjadi keutamaan setiap peserta yang menyertai mana-mana acara bermotosikal di negara ini.
"Kalau boleh, kita mahu mencapai sasaran sifar kemalangan pada penganjuran RXZ Members 8.0 tahun ini," katanya.
Faizal berkata, perkara paling penting ialah memastikan semua peserta tiba di Terengganu dengan selamat, menikmati program yang disediakan dan pulang ke destinasi masing-masing tanpa sebarang insiden.
Beliau turut berharap semua peserta mematuhi peraturan jalan raya, termasuk memastikan motosikal berada dalam keadaan baik, mematuhi had laju ditetapkan serta mengelakkan sebarang aksi berbahaya yang boleh mengundang risiko kemalangan.
Katanya, kerjasama semua peserta amat penting bagi memastikan RXZ Members 8.0 berjalan lancar, selain membantu mengekalkan imej positif komuniti peminat motosikal Yamaha RXZ.
Pada penganjuran RXZ Members tahun lalu, dua kemalangan maut direkodkan membabitkan peserta program berkenaan.
Sehubungan itu, penganjur menegaskan aspek keselamatan perlu diberi perhatian bukan sahaja ketika perjalanan pergi dan balik, malah sepanjang peserta berada di Terengganu.
RXZ Members 8.0 dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peminat motosikal RXZ dari seluruh negara.






















