BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Bagaimana pengundi muda memilih? Ini caranya

SEREMBAN: Rekod pencapaian dan latar belakang calon antara kriteria utama dinilai pengundi muda yang pertama kali memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos ini.
PRN NS: Bagaimana pengundi muda memilih? Ini caranya

Bendera parti yang bertanding memeriahkan suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di DUN Linggi. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SEREMBAN: Rekod pencapaian dan latar belakang calon antara kriteria utama dinilai pengundi muda yang pertama kali memilih wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, 1 Ogos ini.

K Sasvini, 19, lebih awal mencari maklumat mengenai calon yang bertanding di tempatnya mengundi iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

kSasvini_1785196256.jpg
K Sasvini.

"Mula-mula saya tengok di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya juga cari maklumat berkaitan latar belakang dan rekod pencapaian calon di media sosial serta internet.

"Sebagai pengundi, saya perlu pastikan saya memilih calon yang tepat sebagai wakil rakyat kerana pilihan betul akan memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan ini," katanya ketika ditemui, di sini.

Sasvini mengakui teruja untuk mengundi kerana mahu menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin di kawasannya.

"Sebelum ini, saya ada teman bapa ke pusat mengundi.

"Kali ini, saya sendiri berpeluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," kata pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah, di sini itu.

Rakan sebaya, Amir Nur Afiq Zaidilah, 19, mempunyai cara berbeza dalam membuat pilihan.

Amir_Nur_Afiq_1785196258.jpg
Amir Nur Afiq Zaidilah.

"Maklumat di internet mahupun media sosial bukan semuanya betul.

"Oleh itu, saya dapatkan maklumat mengenai calon berdasarkan pendapat dan pandangan ahli keluarga.

"Mereka lebih tahu apa yang berlaku di sekeliling termasuk dari segi bantuan diterima dan kemudahan disediakan kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau mahu wakil rakyat yang dapat menyediakan peluang pekerjaan berhampiran tempat tinggalnya yang terletak dalam DUN Ampangan.

"Sebagai anak muda, saya lihat peluang pekerjaan adalah isu yang penting untuk dijadikan keutamaan calon.

"Sebagai anak tempatan, saya pasti mahu peluang pekerjaan yang dekat dengan tempat tinggal tanpa perlu mencari di luar atau berhijrah," katanya.

Nur Qairawani Asyura Mohamad Rosli, 19, mahu memilih calon yang dikenali kerana kerap turun padang dan mendekati masyarakat setempat.

Nur_Qairawani_1785196260.jpg
Nur Qairawani Asyura.

"Saya mahu pilih calon yang saya kenal kerana kerap turun padang, aktif dalam program dengan masyarakat setempat serta memberi sumbangan kepada penduduk.

"Saya pilih untuk buat kajian terlebih dahulu mengenai calon yang bertanding di DUN Chembong selain bertanyakan pendapat ibu bapa," katanya.

Beliau berasa bersemangat untuk mengundi kali pertama kerana akan menunaikan tanggungjawab itu bersama lima ahli keluarganya yang lain.

"Selain ibu bapa, saya dan empat adik beradik lain juga akan mengundi di pusat mengundi yang sama.

"Jadi, saya rasa semangat bukan sahaja kerana kali pertama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi tetapi dapat melakukannya bersama ahli keluarga," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan