META-ANALISIS diterbitkan dalam Proceedings of the National Academy of Sciences pada 2018, merangkumi 24 kajian prospektif dengan lebih 17,000 peserta dan purata umur sampel antara sekitar sembilan hingga 19 tahun, menemukan hubungan kecil, tetapi signifikan antara permainan video ganas dengan peningkatan agresiviti fizikal dari semasa ke semasa. Dapatan itu bukan bukti permainan melahirkan pembunuh, tetapi mengisyaratkan kesan psikologi pendedahan berulang kepada kandungan ganas tidak boleh dipandang ringan.
Sejak kelmarin, siri laporan khas BH mengenai Ekstremisme Keganasan Nihilistik (NVE) memperlihatkan bagaimana ancaman itu semakin menghampiri sekolah, keluarga dan masyarakat. Pendedahan berulang kepada kandungan ganas melalui media sosial, aplikasi sembang dan ruang permainan berpotensi mengurangkan kepekaan terhadap keganasan serta menjadikan tindakan ganas kelihatan seperti bahasa biasa untuk meluahkan kemarahan, dendam atau kekecewaan.

Berbeza daripada ekstremisme konvensional lazimnya bersandarkan agenda politik atau agama, NVE boleh didorong lebih kuat oleh kehampaan, kesunyian, rasa terasing dan kepercayaan bahawa kehidupan tidak lagi mempunyai makna. Namun, faktor itu tidak boleh dilihat secara berasingan kerana unsur ideologi, pengalaman dibuli, persekitaran sosial dan kecenderungan menerima keganasan sebagai penyelesaian mungkin saling bertindih. Malangnya, kita sudah membaca kajian psikologi mengenai normalisasi keganasan bertahun-tahun, tetapi bertindak seolah-olah pengaruh dunia digital tidak akan keluar daripada skrin. Setiap kali insiden tercetus, kita mengeluh, menyalahkan keluarga, sekolah atau masyarakat, kemudian kembali senyap sehingga kejadian berikutnya mengetuk kesedaran. Sampai bilakah amaran ilmiah dan kes yang berlaku dianggap kebetulan?
Kerajaan tidak bermula daripada kosong kerana Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, kod perlindungan kanak-kanak, dasar keselamatan sekolah dan pelbagai program kesejahteraan sudah diwujudkan. Adakah semua instrumen itu benar-benar disatukan untuk mengesan hubungan antara kandungan ganas, tekanan psikologi, buli, ancaman terhadap orang lain dan risiko keganasan di sekolah? Justeru, sebuah mekanisme penyelarasan perlu diwujud bagi melaksanakan Pelan Tindakan Nasional Pencegahan Keganasan Digital dan Keselamatan Psikologi Kanak-Kanak serta Remaja. Mekanisme itu mesti mempunyai sekretariat tetap yang menyatukan kementerian berkaitan keluarga, pendidikan, kesihatan, komunikasi, digital dan keselamatan, selain MCMC, polis, universiti, pakar psikologi, sekolah serta penyedia platform. Tanggungjawabnya termasuk membangunkan sistem amaran awal, protokol penilaian risiko, garis panduan kandungan berbahaya dan saluran rujukan nasional bagi guru, kaunselor, ibu bapa serta petugas kesihatan.
Pendekatan perlu berteraskan pencegahan dan pemulihan melalui kaunseling, rawatan kesihatan mental, perlindungan serta sokongan keluarga, manakala penguatkuasaan digunakan apabila ancaman benar-benar berlaku. Platform digital pula mesti dipertanggungjawabkan memperkukuh pengesahan umur, mengurangkan saranan kandungan ganas, menyekat pengagungan pelaku serangan dan menyimpan data diperlukan bagi penyiasatan menurut undang-undang. Pada masa sama, kerajaan juga perlu membiayai penyelidikan tempatan jangka panjang supaya dasar tidak terus bergantung pada andaian atau data luar negara. Tanpa data mengenai corak pendedahan, kesihatan emosi, buli, ancaman dan tingkah laku ganas, kita akan terus bertindak selepas kejadian, bukannya mencegahnya lebih awal.



















