BH Online
Ringkasan Berita

Ada 2 lagi bas bawa etnik Rohingya ke ibu negara: "Kami belum dapat sahkan dakwaan" - Fadil Marsus

KUALA LUMPUR: Polis belum dapat mengesahkan dakwaan mengenai ketibaan dua lagi bas yang dipercayai membawa pelarian Rohingya ke ibu negara.
Ada 2 lagi bas bawa etnik Rohingya ke ibu negara: "Kami belum dapat sahkan dakwaan" - Fadil Marsus

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis belum dapat mengesahkan dakwaan mengenai ketibaan dua lagi bas yang dipercayai membawa pelarian Rohingya ke ibu negara.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus kepada BERNAMA malam ini.

"Pihak kami belum dapat mengesahkan dakwaan mengenai dua lagi bas yang dipercayai membawa pelarian Rohingya ke ibu negara," katanya.

Terdahulu, polis memindahkan 126 pelarian Rohingya yang mendirikan khemah dan menjadikan kawasan di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling di sini sebagai penempatan sementara.

Menurut Fadil, kawasan di hadapan pejabat UNHCR adalah lokasi sensitif dan tidak boleh dijadikan penempatan sementara oleh mana-mana individu atau komuniti.

Beliau berkata polis bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur mengambil tindakan memindahkan semua pelarian itu ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi menjalankan proses saringan dan dokumentasi.

"Kami akan buat saringan di tempat yang lebih sesuai. Mereka yang tidak mempunyai dokumen akan ditahan manakala mereka yang mempunyai dokumen akan disahkan terlebih dahulu dengan UNHCR.

"UNHCR bersama unit sokongan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan mencari pilihan penempatan yang bersesuaian bagi mereka yang mempunyai dokumen sah kerana kami tidak boleh mengambil tindakan di bawah Akta Imigresen terhadap pemegang kad UNHCR yang sah," katanya melalui kenyataan.

Fadil berkata 58 daripada 126 pelarian Rohingya yang dipindahkan itu adalah orang dewasa.

"Setakat ini semua pelarian terbabit memberikan kerjasama kepada polis sepanjang operasi dijalankan dan tiada sebarang insiden menghalang tugas penjawat awam dilaporkan," katanya.

Terdahulu, BERNAMA melaporkan tinjauan di lokasi mendapati operasi pemindahan bermula jam 8.20 malam dengan menggunakan empat trak polis, selepas dua trak yang disediakan pada awalnya tidak mencukupi berikutan kebanyakan pelarian itu turut membawa bagasi dan barangan peribadi.

Difahamkan, semua warga asing itu akan menjalani pemeriksaan identiti sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.

Media sebelum ini melaporkan kumpulan pelarian itu tiba di ibu negara pada awal pagi tadi dengan menaiki tiga bas selepas diusir keluar oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.

Video Terkini

Berita Berkaitan