IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki cedera dalam kemalangan yang turut meragut nyawa dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan petang semalam, selamat menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.
Mangsa berusia tujuh tahun menjalani pembedahan pada bahagian kepala dan kini menjalani rawatan lanjut di hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata ketika kejadian, kanak-kanak itu berada di bahu jalan sebelum kereta dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun terbabas serta melanggar premis milik bapa mangsa.
"Sewaktu kejadian, mangsa berada bersama bapa dan di bawah pengawasan ibu bapanya. Bagaimanapun, kejadian berlaku di hadapan premis milik bapa kanak-kanak berkenaan.
"Selepas kemalangan itu, mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi BERNAMA.
Siasatan awal mendapati kereta terbabit terbabas ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah lagi kereta di lokasi kejadian.
Akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun yang menaiki motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kanak-kanak berusia tujuh tahun cedera.
Hasil saringan awal air kencing dijalankan ke atas lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.
























