KUALA LUMPUR: Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC) dapat menyediakan pengalaman perlumbaan bertaraf dunia kepada peminat tempatan susulan kembalinya Formula 1 (F1) ke Malaysia.
Tunku Abdul Rahman yang merupakan Presiden dan Pelumba Johor Motorsports Racing (JMR) bertitah kembalinya semula acara berprestij itu di Litar Sepang selepas sembilan tahun tidak berada dalam kalendar perlumbaan merupakan detik yang amat dinanti-nantikan oleh peminat sukan permotoran negara.
"Saya berharap penganjur, termasuk SIC, dapat melaksanakan tugas dengan baik menganjurkan acara itu dan memberikan pengalaman terbaik kepada peminat perlumbaan, terutamanya peminat tempatan Malaysia yang telah sekian lama menunggu F1 kembali semula ke negara kita.
"Sukan ini telah berkembang pesat dan penganjuran acara peringkat antarabangsa seperti ini di sini akan memberi inspirasi dan memacu industri sukan permotoran tempatan kita - bukan sahaja dari segi pembangunan atlet tetapi juga untuk pertumbuhan infrastruktur dan ekosistem sukan permotoran," titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Tunku Panglima Johor juga berkongsi pengalaman peribadi di litar tersebut dengan menyatakan bahawa kembalinya perlumbaan F1 ke litar sepang telah meletakkan Malaysia kembali di peta global dalam perspektif yang positif.
"(Litar) Sepang sentiasa menjadi tempat yang istimewa, tempat saya menonton perlumbaan F1 pertama saya bersama Almarhum datuk saya pada era Michael Schumacher tahun 2000-an, sehingga perlumbaan terakhir pada 2017.
Membawa kembali F1 melonjakkan Malaysia di peta dunia," titah baginda.
Dalam pada itu Tunku Abdul Rahman turut memuji usaha diplomatik antara ketua-ketua negara yang memungkinkan perlumbaan itu kembali semula ke Litar Sepang.
"Saya amat berterima kasih atas persetujuan bersama yang dicapai antara Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, serta Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang telah membawa kepada berita mengujakan ini.
"Suatu yang hebat bagi Malaysia kerana F1 kembali ke Sepang selepas sembilan tahun, terutamanya untuk peminat sukan permotoran kita. Begitu juga untuk pemandu F1 sendiri dan pasukan mereka, bagi mereka yang pernah berlumba di sini dan juga mereka yang bakal merasai pengalaman berlumba buat kali pertama," titah baginda.
Perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) itu akan diadakan di Litar Sepang dari 2 hingga 4 Oktober di Litar Sepang.
























