PETALING JAYA: Kedutaan Malaysia di Seoul sedang berusaha memberikan bantuan yang diperlukan kepada waris keluarga rakyat Malaysia yang maut dalam satu kejadian bunuh di Korea Selatan.
Pengesahan itu dinyatakan oleh Kementerian Luar dalam satu kenyataan yang dikongsikan malam ini.
Wisma Putra dalam laporannya menyatakan, pihak kedutaan sudah berhubung dengan waris mangsa dan sedang menghulurkan bantuan konsular termasuk memudah cara urusan dokumentasi, pengurusan pengebumian serta penghantaran pulang jenazah kembali ke tanah air.
Kementerian Luar berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai terdapat beberapa lagi rakyat Malaysia yang terbabit dalam kes berkenaan berada dalam siasatan dijalankan pihak berkuasa Korea Selatan.
"Selain itu, kedutaan juga akan terus mendapatkan maklumat yang disahkan daripada pihak berkuasa Korea Selatan, dari semasa ke semasa di samping memberikan bantuan konsular yang bersesuaian kepada rakyat Malaysia yang terbabit.
"Bantuan yang diberikan ini adalah selaras dengan undang-undang negara itu serta obligasi antarabangsa yang berkenaan," katanya.
Wisma Putra turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan komitmennya untuk terus melindungi kebajikan serta kesejahteraan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
Pada masa sama, kementerian mengingatkan semua rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke luar negara supaya sentiasa menghormati dan mematuhi undang-undang serta peraturan negara yang dikunjungi.
Wisma Putra berkata, pihaknya dimaklumkan insiden berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa Korea Selatan.
"Sehubungan itu, kementerian tidak akan mendedahkan butiran lanjut mengenai mangsa atau keadaan yang membawa kepada kejadian berkenaan bagi menghormati siasatan yang masih berjalan serta privasi keluarga mangsa," katanya.
Terdahulu, dalam kejadian malam kelmarin (waktu Korea Selatan) seorang pekerja sektor perkilangan, Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, disahkan meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, selepas cedera parah pada bahagian perut, akibat ditikam dengan pisau.
Ahmad Shah, yang menetap di sana sejak 2019, datang ke lokasi kejadian pergaduhan itu bersama isterinya dari kediaman mereka, selepas rakannya yang juga rakyat Malaysia menghubunginya bagi mendapatkan pertolongan.
Difahamkan suspek yang menikamnya serta beberapa lagi individu lain yang terbabit dalam pergaduhan itu juga rakyat Malaysia.
Suspek utama dan individu lain yang terbabit kini ditahan bagi membantu siasatan.
























