KEPALA BATAS: Proses perpindahan warga Rohingya dari penempatan sementara bekas tapak tsunami di Kuala Muda, dekat Penaga berhampiran Pasar Bisik, di sini malam tadi dilakukan secara sukarela oleh etnik itu sendiri.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata terdapat 121 warga Rohingya keluar dari kawasan berkenaan dan bergerak ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur.
Menurutnya, perpindahan itu berlaku disebabkan persaingan ekonomi dan pertambahan warga Rohingya di kawasan berkenaan.
"Proses perpindahan ini dibantu dan diselaraskan Jabatan Persekutuan (Jabatan Perpaduan), kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), wakil penduduk tempatan dan wakil warga Rohingya dengan dipantau dan diselaraskan pihak polis dalam menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
"Dalam pada itu, polis menyeru masyarakat tidak mensensasikan isu sehingga menggugat keselamatan dan ketenteraman awam," katanya melalui kenyataan hari ini.
Terdahulu, tinjauan di perkampungan mendapati beberapa unit rumah sewa didiami warga etnik itu kosong sepenuhnya selepas semuanya berpindah keluar.
Difahamkan rumah disewa komuniti itu dua tahun lalu dari 32 buah bertambah kepada 47 buah dengan setiap kediaman terdapat antara empat hingga lima keluarga kumpulan etnik berkenaan.
Situasi itu mencetuskan rasa tidak puas hati penduduk tempatan, selain mengatakan kehadiran etnik berkenaan mengganggu aktiviti ekonomi penduduk yang kebanyakan terdiri nelayan.
Semua warga Rohingya terbabit dibawa keluar dari kampung itu kira-kira jam 10 malam tadi dengan tiga bas.
























