JOHOR BAHRU: Jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan yang menyumbangkan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 bakal menerima habuan daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah, berkata kejayaan Mohamad Aniq mengharumkan nama Johor dan Malaysia pada temasya kali ini.
Katanya, atlet anak jati Johor itu mencipta sejarah dengan jumlah angkatan 273 kilogram (kg), bukan sekadar mengekalkan gelaran juara, malah memecahkan rekod kejohanan.
"Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Mohamad Aniq Kasdan atas kejayaan cemerlang mempertahankan pingat emas Sukan Komanwel 2026 dalam acara angkat berat kategori 60kg.
"Untuk peringkat Majlis Sukan Negeri Johor, ada habuan menanti Mohamad Aniq. Tapi untuk yang lebih besar itu, saya akan berbincang dengan Menteri Besar... insya-Allah ada habuan dari negeri Johor," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Persatuan-persatuan Sukan Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Menurut Mohd Hairi, kejayaan Aniq menjadi bukti bahawa anak Johor mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah di persada antarabangsa apabila diberi ruang, sokongan dan peluang.
"Semangat juang, disiplin dan pengorbanan ditunjukkan Aniq wajar dijadikan contoh kepada seluruh atlet muda negeri ini, bahawa kejayaan datang daripada usaha yang tidak pernah berhenti," ujarnya.
Selain Mohamad Aniq, lima atlet Johor yang akan berjuang dalam Sukan Komanwel Glasgow 2026 ialah Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nur Allysa Mohd Farid (berbasikal trek), Amirul Danial Abdul Rahim (Boling Padang), Muhammad Nabil Wafiq Zamri (para berbasikal trek) dan
Muhammad Nur Syaiful Zulkfli (para akuatik).
























