KUALA LUMPUR: Hujan lebat, ribut petir berserta angin kencang diramal membadai ibu negara selain beberapa kawasan di enam negeri lain sehingga jam 8 malam ini.
Selain Gua Musang di Kelantan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam hantaran di Facebook memaklumkan cuaca buruk itu turut dijangka melanda Perak membabitkan Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta.
"Di Terengganu, kawasan terbabit ialah Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun manakala di Pahang membabitkan Bentong, Bera dan Rompin.
"Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak di Selangor selain Segamat, Mersing dan Kota Tinggi di Johor," katanya menurut hantaran.
MetMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 millimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.
























