BH Online
Ringkasan Berita

Negara perlu tampung RM27 bilion setahun biayai subsidi petrol jika harga dikurangkan 50 sen seliter - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Negara dianggarkan perlu menampung kos lepas sekurang-kurangnya RM27 bilion setahun untuk membiayai subsidi petrol, jika harga bahan api itu dikurangkan kepada 50 sen seliter.
Negara perlu tampung RM27 bilion setahun biayai subsidi petrol jika harga dikurangkan 50 sen seliter - Penganalisis

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Negara dianggarkan perlu menampung kos lepas sekurang-kurangnya RM27 bilion setahun untuk membiayai subsidi petrol, jika harga bahan api itu dikurangkan kepada 50 sen seliter.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata angka itu mengambil kira perbezaan cadangan harga pasaran serta kadar penggunaan bahan api negara bagi tempoh setahun.

Beliau berkata, perbelanjaan sebenar bagi kos bahan api dianggarkan bernilai RM67.05 bilion selepas mengambil kira penggunaan RON95 dan diesel, direkodkan kira-kira 45 bilion liter setahun.

azmi27
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid. - Foto fail NSTP

Justeru, katanya, tidak disyorkan bagi menurunkan harga bahan api secara pukal, sebaliknya kadar relevan ialah melalui subsidi bersasar, bukannya pemotongan harga di pam, jika perlu.

"Ini kerana, harga minyak mentah Brent masih bernilai antara AS$80 hingga 85 setong, selain setiap penurunan 10 sen harga di pam bersamaan kos tambahan kira-kira RM4.5 bilion setahun.

"Selain itu, 40 peratus subsidi petrol dinikmati T20 ketika ini berpotensi menyebabkan lebih banyak ketirisan kepada golongan tidak layak, jika harga bahan api diturunkan (kepada 50 sen seliter).

"Nilai kos lepas ini bersamaan kos pembinaan 54 hospital baharu, bantuan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM600 sebulan untuk 3.75 juta isi rumah setahun atau gaji 270,000 guru setahun," katanya kepada BH.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan tidak boleh menurunkan harga minyak sewenang-wenangnya, mengambil kira negara ketika ini menanggung subsidi petrol dan diesel bernilai RM40 bilion setahun.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, menyifatkan harga petrol boleh diturunkan sehingga 50 sen seliter seperti didakwa segelintir pihak adalah tidak realistik berdasarkan keadaan pasaran semasa.

Ini kerana, hampir 50 peratus keperluan petroleum negara diimport, selain kerajaan tetap mampu mengekalkan harga petrol pada kadar RM1.90 seliter menerusi pemberian subsidi besar.

Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi menyifatkan gesaan menurunkan harga bahan api kepada 50 seliter itu bakal memberikan tekanan kepada nilai mata wang dan rizab negara.

"Impak gesaan ini juga akan menyebabkan kerajaan kekurangan dana untuk merancang projek pembangunan, sekali gus menyebabkan pelabur melihat keadaan fiskal negara semakin melemah.

"Harga bahan api sebaliknya wajar dikekalkan pada kadar RM2.05 seliter untuk B40 dan M40 melalui subsidi tunai, selain dinaikkan secara berperingkat ke RM2.50 hingga RM2.70 untuk T20.

"Kaedah ini adalah 'sasaran separa' yang lebih mapan, sekiranya kerajaan mahu membantu mengurangkan beban kos sara hidup dihadapi masyarakat pelbagai lapisan," katanya.

Aimi Zulhazmi juga percaya gesaan sedemikian wujud susulan tafsiran masyarakat berhubung subsidi yang dianggap sebagai hak rakyat, bukannya bantuan dengan keadaan itu disifatkan biasa di semua negara.

Beliau berkata, pemberian subsidi dibuat berpandukan dua tujuan utama, antaranya jaringan keselamatan yang bertujuan memastikan inflasi tidak 'membunuh' golongan B40.

Jaringan keselamatan, katanya, antara lain bertujuan memastikan masyarakat pelbagai lapisan berpeluang mendapatkan bekalan barangan asas pada kadar mampu milik.

"Subsidi juga menjadi pemangkin ekonomi dengan kos logistik rendah akan membantu industri makanan dan minuman, pengangkutan serta pertanian.

"Namun, subsidi pukal bahan api bertentangan tujuan berkenaan kerana golongan doktor, ketua pegawai eksekutif dan pelajar sama-sama menikmati harga RM1.99 seliter.

"Ini akan menggalakkan lebih ramai bertukar kepada kereta lebih besar, selain salah guna dalam kalangan pemain industri, pembaziran dan penyeludupan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan