GOMBAK: Kutipan sumbangan bagi membantu urusan dan penghantaran pulang jenazah rakyat Malaysia, Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut selepas ditikam dalam kejadian di Korea Selatan kini sudah mencecah kira-kira RM80,000, walaupun baru dilancarkan semalam.
Adik Allahyarham, Ain Sephia Fabian, 25, berkata jumlah itu sudah melebihi anggaran kos yang sebelum ini dimaklumkan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Korea Selatan.
Katanya, kedutaan sebelum ini menganggarkan kos pengurusan jenazah dan penghantaran pulang ke Malaysia sekitar RM50,000 hingga RM70,000.
Bagaimanapun, katanya, jumlah sebenar masih belum dimuktamadkan kerana masih menunggu pengesahan daripada pihak hospital.
"Setakat ini jumlah sumbangan yang diterima sudah mencecah kira-kira RM80,000. Bagi pihak keluarga saya nak ucap terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan memberikan sumbangan," katanya kepada BH ketika ditemui di kediaman keluarga di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, keluarga turut memaklumkan bahawa kutipan bagi urusan membawa jenazah kembali ke tanah air sudah mencukupi.
Sebelum ini, ahli keluarga Allahyarham melancarkan tabung sumbangan bagi membantu menampung kos pengurusan jenazah di Korea Selatan.
Difahamkan, dana itu akan digunakan bagi menampung kos termasuk urusan hospital, dokumentasi dan pengangkutan serta penghantaran pulang ke Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan Ahmad Shah maut dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an serta beberapa lagi rakyat Malaysia yang juga saksi kejadian bagi membantu siasatan.
























