SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH), Nor Azman Mohamad mengakui wujud tekanan untuk beliau mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dalam Pilihan Raya (PRN) Negeri Sembilan (NS) kali ini.
Sebelum ini, kerusi berkenaan disandang Pengerusi PH NS, Datuk Seri Aminuddin Harun yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.
"Empat penggal kerusi ini diterajui oleh Menteri Besar. Dua penggal, beliau menjadi pembangkang, dua penggal lagi beliau menjadi menteri besar.
"Berdasarkan rekod itu, pastinya saya ada sedikit tekanan kerana beliau (Aminuddin) mempunyai rekod kecemerlangan mentadbir kawasan Sikamat.
"Apabila beliau beri kepercayaan kepada saya untuk ambil alih, saya terharu kerana rekod beliau sebagai pemimpin di kawasan itu adalah penanda aras yang tinggi," katanya.
Nor Azman yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar berkata, amanah yang diberi akan digalas sebaik mungkin supaya DUN Sikamat kekal menjadi milik PH.
Katanya, prestasi pentadbiran kerajaan negeri wajar menjadi asas penilaian pengundi apabila membuat pilihan, baik esok untuk pengundi awal mahu pun pada 1 Ogos ini bagi yang selebihnya.
"Saya akan cuba mendekati seramai mungkin pengundi di DUN Sikamat dalam tempoh berbaki, sama ada secara fizikal mahupun maya dengan menawarkan khidmat ditinggalkan Datuk Seri Aminuddin.
"Ada banyak manfaat serta khidmat beliau untuk diteruskan di DUN Sikamat bagi dinilai sebagai asas memilih PH mentadbir kawasan itu.
"Selain itu, saya akan beri perhatian serta pendekatan dari aspek infrastuktur dan komuniti di perumahan baharu selain taman perumahan berusia lebih 20 tahun di Sikamat," katanya.
Nor Azman memberi tumpuan kepada tiga aspek bagi komuniti di Sikamat.
"Pertama ialah aspek pendidikan dengan mendapatkan akses terbaik terutama di peringkat sekolah, kedua pula aspek kebajikan kepada warga emas dan anak muda.
"Ketiga, khidmat kepada rakyat. Saya harap pengundi di DUN Sikamat memberi kepercayaan kepada saya untuk meneruskan legasi Datuk Seri (Aminuddin) berkhidmat di kawasan ini," katanya.
Kerusi DUN Sikamat disandang Aminuddin sejak 2008 sebelum berpindah ke DUN Linggi dalam PRN NS kali ini.
DUN Sikamat menyaksikan pertembungan tiga penjuru yang membabitkan Nor Azman selain Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mewakili BERSATU dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Abu Samah.
























