BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Kamarul Ariffin tekad perkasa belia DUN Seri Menanti

KUALA PILAH: Memperkasa golongan belia melalui sukan dan penyediaan kemudahan yang lebih baik menjadi antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
PRN NS: Kamarul Ariffin tekad perkasa belia DUN Seri Menanti

Calon PH DUN Seri Menanti, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa (tengah). - Foto ihsan FB Kamarul Arifin Wafa

KUALA PILAH: Memperkasa golongan belia melalui sukan dan penyediaan kemudahan yang lebih baik menjadi antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Katanya, Seri Menanti mempunyai ramai anak muda yang aktif, namun beberapa kemudahan sukan seperti gelanggang sepak takraw dan padang bola sepak memerlukan penambahbaikan bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti dalam keadaan lebih selesa.

Melalui sukan, katanya, ia mampu menjadi platform berkesan untuk menyatukan belia, membina semangat kekitaan dan mengeratkan hubungan dalam komuniti.

"Anak muda di Seri Menanti ini ramai. Antara cara paling mudah untuk kita santuni mereka adalah melalui sukan kerana ia mampu menyatukan masyarakat.

"Kita juga mahu melihat kemudahan sukan yang lebih baik supaya anak-anak muda mempunyai ruang untuk berkumpul, beriadah dan menjalankan aktiviti secara sihat," katanya ketika program riadah sepak takraw bersama belia di Kampung Kuala Talang, di sini.

Beliau berkata, usaha memperkasakan belia akan turut membabitkan penganjuran aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan bagi menggalakkan pembabitan mereka dalam pembangunan komuniti.

Dalam pada itu, Mohd Kamarul Ariffin berhasrat menjadi 'anak kampung' di Seri Menanti, dengan sentiasa turun padang menyantuni penduduk, khususnya warga emas yang tinggal bersendirian selepas anak-anak mereka berhijrah ke bandar.

"Sebagai anak kampung, kita mahu turun menyantuni mereka, kita mahu menjadi sebahagian daripada ekosistem kampung itu sendiri untuk bantu ibu bapa dan warga emas yang tinggal bersendirian.

"Siapa lagi yang akan menjenguk mereka? Siapa lagi yang akan meninjau keadaan mereka? Kitalah, orang di sini dan sukarelawan kita yang perlu sentiasa pergi menjenguk, menziarahi dan bertemu mereka.

"Kehadiran kita, walaupun sekadar datang bertanya khabar, sebenarnya sudah menjadi satu kebahagiaan kepada mereka yang ditinggalkan bersendirian." katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan