BH Online
Ringkasan Berita

Sanusi nafi ucapan di Jempol persoal kerakyatan bukan Melayu di negara ini

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan ucapan dibuatnya di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini menafikan status kerakyatan bukan Melayu di negara ini.
Sanusi nafi ucapan di Jempol persoal kerakyatan bukan Melayu di negara ini

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan ucapan dibuatnya di Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini menafikan status kerakyatan bukan Melayu di negara ini.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut mengulangi penegasan bahawa ucapannya itu selari pandangan tokoh antarabangsa seperti Oliver Stanley, Lord Killearn dan Lord Ogmore mengenai Tanah Melayu dan Malaya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, semua ucapan itu membawa inti pati sama iaitu Tanah Melayu ialah wilayah dengan hubungan sejarah, politik dan kebudayaan khusus dengan masyarakat Melayu.

Hubungan itu, katanya dilihat menerusi kewujudan negeri, bahasa, adat istiadat Melayu, Islam sebagai unsur utama sejarah negeri berkenaan, institusi Raja-raja Melayu serta penggunaan terma Persekutuan Tanah Melayu.

"Ucapan saya bukanlah gagasan luar biasa, baharu atau terpisah daripada sejarah. Ia pengulangan dalam bahasa politik semasa bagi pengakuan pernah dibuat secara terbuka dalam Parlimen British, sejak 1946.

"Ia mempunyai persamaan tekstual dan konseptual yang jelas dengan ucapan Oliver Stanley pada 8 Mac 1946; Lord Killearn pada 13 April 1949 dan Lord Ogmore pada 29 Julai 1957.

"Penilaian bagi sesuatu kenyataan perlu berasaskan maksud, konteks dan keseluruhan ucapan, bukannya semata-mata identiti atau kedudukan politik penuturnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Muhammad Sanusi dilapor berkata, orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu, sedangkan bangsa lain mempunyai negara yang secara sejarah dikaitkan dengan asal-usul kaum masing-masing.

Namun, kenyataan Yang Dipertua PAS Sik pada Ceramah Perdana PN dan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan itu mencetuskan kontroversi apabila ada pihak mengaitkannya sebagai cubaan menafikan kerakyatan bukan Melayu di negara ini.

Muhammad Sanusi juga menasihatkan orang ramai tidak menjadikan kenyataannya seolah-olah seruan untuk menghalau, menolak atau menafikan kewarganegaraan bukan Melayu di negara ini.

Tafsiran sedemikian, katanya, melangkaui kenyataan beliau selain mengabaikan konteks keseluruhan ucapan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu.

"Catatan 'hansard' pada 1946, 1949 dan 1957 membuktikan gagasan Tanah Melayu sebagai wilayah sejarah serta satu-satunya tanah air orang Melayu yang sudah lama diakui dalam rekod rasmi Parlimen British.

"Ia bukan ciptaan saya mahupun suatu retorik politik yang baru muncul tahun ini.

"Tidak tepat untuk mengambil ucapan ini secara terasing dan memberikan gambaran saya sedang mempersoal kerakyatan masyarakat Cina dan India, sedangkan perkara dibahaskan ialah hubungan sejarah Melayu dengan Tanah Melayu serta kebimbangan saya mengenai kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan