GOMBAK: Ibu kepada Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut selepas ditikam oleh seorang individu dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan mendakwa anaknya keluar dari rumah awal pagi semalam selepas dihubungi oleh rakannya.
Zulfah Fadliani, 47, berkata ketika kejadian sekitar jam 9 malam (waktu Korea) Sabtu lalu, anaknya sedang berada di rumah bersama isteri, Nurcahaya Ruslan, 30, sebelum Ahmad Shah dihubungi seorang rakan yang juga rakyat Malaysia.
Katanya, kerana sifat setia kawan, anak sulungnya itu bersama isteri keluar dari rumah bagi tujuan ingin membantu meleraikan sengketa yang dialami rakannya.
"Menantu saya (Nurcahaya) yang mengikuti Ahmad Shah ke lokasi yang dimaklumkan memberitahu terdapat sekumpulan lelaki termasuk rakan anak saya diserang oleh sekumpulan lelaki lain yang juga rakyat Malaysia.
"Katanya ketika cuba meleraikan pergaduhan, anak saya secara tiba-tiba ditikam oleh seorang lelaki dengan pisau sebelum dia melarikan diri," katanya kepada BH yang mengunjungi kediaman keluarga mangsa di Bandar Tasik Puteri, Rawang, hari ini.
Zulfah berkata, anaknya itu mengalami kecederaan serius selepas ditikam di bahagian perut hingga menyebabkan kehilangan darah sebelum dibawa ke hospital.
Katanya, dia dimaklumkan oleh Nurcahaya pada jam 1.30 pagi semalam (Ahad) mengenai kejadian yang menimpa Ahmad Shah.
"Saya dapat rasakan sesuatu apabila terdengar tangisan Nurcahaya ketika menghubungi saya yang kemudiannya terus menyatakan anak saya parah akibat ditikam dalam satu kejadian pergaduhan.
"Ketika itu, saya sempat melihat anak saya bertarung nyawa ketika sedang mendapatkan rawatan di hospital melalui panggilan video daripada menantu saya.
"Bagaimanapun, Allah SWT lebih menyayanginya apabila Ahmad Shah disahkan meninggal dunia sekitar jam 3.30 pagi (waktu tempatan)," katanya.
Ibu kepada tiga anak itu memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan anaknya adalah pada jam 6 petang kelmarin namun tiada sebarang masalah yang diceritakan atau dikongsi oleh anaknya.
"Ahmad Shah seorang anak yang mempunyai sifat bertanggungjawab, sentiasa menghubungi saya bertanyakan khabar berita, masalah kesihatan dan keadaan ahli keluarga yang lain.
"Selain keluarga, dia juga dikelilingi ramai kawan karib yang sentiasa berkongsi susah dan senang.
"Malah, langkahnya yang memilih untuk bekerja di sektor perkilangan di Korea Selatan sejak tahun 2019 adalah kerana ingin membantu menampung kehidupan ibu bapa dan dua adiknya. Dia seorang yang sangat penyayang kepada keluarga dan rakan-rakan dan sentiasa berkongsi apa sahaja permasalahan dengan saya," katanya.
Sehubungan itu, Zulfah dan suami meminta mana-mana pihak untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak benar mengenai kejadian yang menimpa anaknya.
Dia juga berharap pihak berkuasa di Korea Selatan dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku pembunuhan anaknya.
























