KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperkenalkan Zurich Takaful Malaysia Berhad (ZTMB) sebagai syarikat pengendali takaful (SPT) baharu mulai 1 Julai.
PTPTN dalam kenyataan berkata, inisiaitif berkenaan memberi lebih banyak pilihan perlindungan takaful kepada pendeposit, di samping meningkatkan lagi nilai tambah produk Simpan SSPN Plus sebagai instrumen simpanan pendidikan yang komprehensif.
Menurut PTPTN, Simpan SSPN Plus sebelum ini membabitkan kerjasama strategik dengan tiga SPT iaitu Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dan Takaful Ikhlas Family Berhad (TIFB).
"Penambahan ZTMB sebagai SPT baharu akan memberi lebih banyak pilihan kepada pendeposit untuk mendapatkan perlindungan takaful yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
"Pakej yang ditawarkan oleh ZTMB akan memastikan pelanggan terus menikmati manfaat perlindungan yang komprehensif dengan mengekalkan keistimewaan produk Simpan SSPN Plus," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
PTPTN berkata, pelantikan ZTMB sebagai rakan strategik mencerminkan komitmen berterusan PTPTN untuk memperkukuh ekosistem Simpan SSPN Plus melalui kerjasama dengan SPT yang berwibawa.
"Langkah ini bukan sahaja memperluaskan pilihan kepada pelanggan, malah meningkatkan lagi nilai tambah produk Simpan SSPN Plus sebagai instrumen simpanan pendidikan yang menggabungkan elemen simpanan dan perlindungan takaful secara menyeluruh," katanya.
PTPTN berkata, produk Simpan SSPN Plus adalah produk simpanan pendidikan yang menawarkan enam pilihan pakej dengan komitmen bulanan bermula serendah RM30 bagi Pakej Intan sehingga RM500 bagi Pakej Berlian dengan manfaat tambahan di samping sumbangan premium yang murah.
Katanya, melalui kerjasama dengan ZTMB, Simpan SSPN Plus menyediakan perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat takaful penyakit kritikal, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan sehingga tiga orang anak, elaun kemasukan ke hospital serta perlindungan takaful kepada pendeposit sehingga mencapai umur 65 tahun.
"Selain itu, Simpan SSPN Plus menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pendeposit, antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin oleh Kerajaan dan patuh syariah.
"Proses pembukaan akaun juga adalah mudah dan tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan bagi semua pakej kecuali Pakej Berlian.
"Bagi pakej berkenaan, pendeposit hanya perlu menjawab tiga soalan kesihatan tanpa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
"PTPTN yakin kerjasama strategik ini akan terus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap Simpan SSPN Plus sebagai pilihan utama simpanan pendidikan di Malaysia," katanya.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata, kerjasama ZTMB sebagai SPT yang baharu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan PTPTN untuk memperluaskan akses kepada produk simpanan pendidikan yang dilengkapi perlindungan takaful yang berkualiti di samping memperkukuh nilai tambah produk Simpan SSPN Plus.
"Penambahan ini memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan dalam mendapatkan perlindungan takaful yang bersesuaian dengan keperluan mereka, di samping mengekalkan manfaat Simpan SSPN Plus yang komprehensif.
"Sejak diperkenalkan, Simpan SSPN Plus bukan sahaja membantu ibu bapa dan penjaga membuat perancangan kewangan bagi pendidikan tinggi anak-anak, malah turut menyediakan perlindungan takaful sebagai jaminan kewangan kepada keluarga sekiranya berlaku musibah.
"Dengan penyertaan ZTMB, kami yakin pelanggan akan memperoleh pengalaman yang lebih baik melalui pilihan perlindungan yang lebih pelbagai dan berkualiti," katanya.
Maklumat lanjut mengenai Simpan SSPN Plus layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN bagi perkhidmatan secara lebih mudah, cepat dan selamat.
























