KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyokong saranan supaya bekas tentera diambil sebagai warden tetap atau sepenuh masa di sekolah dengan permulaan pelaksanaan ditempatkan di sekolah asrama penuh terpilih.
Presidennya, Aminuddin Awang, mengakui kekangan terbesar Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini adalah kerana memiliki hampir 1,900 jumlah sekolah berasrama, terutama sekolah berasrama penuh di seluruh negara.
Katanya, ia berbeza dengan Maktab Rendah Sains Mara (MARA) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang hanya memiliki 58 asrama di seluruh negara, sekali gus dapat dilaksana lebih menyeluruh dalam tempoh lebih singkat.
"Itu (pengambilan bekas tentera sebagai warden) cadangan baik dan boleh dilaksanakan di sekolah berasrama penuh terpilih sebagai peringkat permulaan.
"Pada masa sama, perlu diingatkan MARA hanya ada 58 asrama berbanding KPM yang ada hampir 1,900 asrama. Jadi keberkesanan penjagaan asrama tak boleh dibanding," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyarankan KPM menimbangkan keperluan supaya menempatkan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di sekolah bagi menangani insiden buli membabitkan pelajar.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, sejak beberapa tahun lalu juga, NUTP sudah mencadangkan supaya diwujudkan jawatan warden sepenuh masa di semua sekolah berasrama.
"Bagi NUTP, tidak kisahlah bekas tentera atau bukan bekas tentera, yang penting ada warden sepenuh masa di sekolah-sekolah berasrama, terutama sekolah berasrama penuh.
"Apa yang NUTP nampak ialah mewujudkan warden sepenuh masa bukan dalam kalangan guru adalah idea yang realistik ke arah membendung kejadian buli dan salah laku disiplin di asrama sekolah, selain memupuk disiplin pelajar," katanya.
Pada Februari lalu, KPM memaklumkan sebanyak 2,889 kes salah laku buli direkodkan tahun lalu membabitkan 740 kes di sekolah rendah dan 2,149 kes sekolah menengah.
Sebelum ini, Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM turut menyaksikan trend membimbangkan apabila kes buli di sekolah terus meningkat antara 2022 hingga 2024.
Sebanyak 7,681 kes dilaporkan pada 2024, berbanding sebanyak 3,883 kes buli pada 2022 dan meningkat sebanyak 6,528 kes pada 2023.






















