MUAR: "Bila air naik , saya mula risaukan anak-anak yang masih kecil. Saya nekad bawa mereka ke rumah ibu bersebelahan," kata Nur Azimah Tugiman, 34, seorang mangsa banjir di Sungai Balang, di sini.
Menceritakan pengalaman itu, ibu kepada empat anak berusia 11 hingga setahun berkata, air mula memasuki rumah pada Sabtu lalu melalui bilik air.
"Tak lama kemudian, air memenuhi bahagian dapur. Pada malam pula, air masuk lagi ke bahagian hadapan rumah. Saya risau memandangkan ada anak kecil termasuk berusia setahun lalu berpindah ke rumah ibu bersebelahan rumah saya.
"Kami enam beranak sempat bermalam di rumah ibu kerana bahagian ruang tamu tidak dinaiki air," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bulat, hari ini.
Katanya lagi, atas faktor keselamatan memandangkan anak masih kecil, dia sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke PPS.
Sementara, tiga lagi mangsa banjir yang juga bersaudara iaitu Martinah Zaiton, 75, adiknya, Rosanah, 56, serta sepupu, Ngatimah Tugiman, 75, memberitahu mereka sudah lali dipindahkan ke PPS.
Martinah berkata, mereka bertiga antara individu yang kerap dipindahkan ke PPS sekiranya berlaku banjir dan menganggap ini ujian dari Allah.
Katanya, dua hari lalu ketika hujan lebat, dia berseorangan sambil mengemas sebelum menyedari air mula masuki rumahnya.
"Tak lama selepas itu, air semakin makin banyak masuk, saya terus menghubungi anak meminta bantuan mengalihkan perkakas rumah termasuk barangan elektrik ke tempat lebih tinggi.
"Saya tidak tahulah apa jadi dalam rumah, saya risau kejadian banjir besar 2023 berulang," katanya.
Sementara itu, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, jumlah mangsa banjir di Johor meningkat kepada 144 orang berbanding 135 mangsa pagi tadi.
Semua mangsa terdiri 40 keluarga, dipindahkan ke dua PPS iaitu SK Parit Bulat dan SK Orang Kaya Ali.
























