BH Online
Ringkasan Berita

Ratusan Rohingya dipindahkan, penduduk Kuala Muda tarik nafas lega

KEPALA BATAS: Penduduk di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, di sini, lega selepas ratusan etnik Rohingya yang menyewa di kawasan itu dikeluarkan pihak berkuasa malam tadi.
Ratusan Rohingya dipindahkan, penduduk Kuala Muda tarik nafas lega

Kediaman di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas yang disewa kepada etnik Rohingya kosong selepas komuniti itu diarah keluar pihak berkuasa, malam tadi. - Foto NSTP/Nur Izzati Mohamad

KEPALA BATAS: Penduduk di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga, di sini, lega selepas ratusan etnik Rohingya yang menyewa di kawasan itu dikeluarkan pihak berkuasa malam tadi.

Mereka dibawa keluar menaiki tiga bas yang dikawal ketat polis sebelum dihantar ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.

Tinjauan di perkampungan itu hari ini mendapati beberapa unit rumah sewa yang sebelum ini didiami etnik berkenaan kosong, menjadikan kawasan itu lengang dan sunyi.

Penduduk, Zarul Hisham Kamaruddin, 40-an, berkata walaupun kumpulan etnik itu tidak menimbulkan kacau ganggu, kehadiran mereka yang semakin ramai, ditambah dengan tuntutan yang disifatkannya tidak munasabah terhadap kerajaan, menyebabkan penduduk sentiasa berwaspada.

"Isu Rohingya sekarang terlalu panas. Di mana-mana sahaja mesti ada dan rakyat kita sudah tidak boleh berkompromi.

"Macam dekat sini mereka memang tidak buat kacau, tetapi penduduk rasa terganggu terutama dari segi aktiviti ekonomi kerana kebanyakan mereka turut turun ke laut menjadi nelayan hingga mewujudkan persaingan kepada penduduk tempatan yang mencari rezeki," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, etnik berkenaan mula memasuki perkampungan itu sedikit demi sedikit selepas tsunami sebelum bilangannya bertambah sejak dua tahun lalu.

Difahamkan, jumlah rumah yang disewa komuniti itu meningkat daripada 32 buah kepada 47 buah dalam tempoh dua tahun, dengan setiap rumah didiami antara empat hingga lima keluarga.

Seorang pekerja kedai makan, Nazar Mat Akhir, 45, berkata terdapat sebahagian daripada mereka yang cuba melarikan diri kerana enggan meninggalkan kawasan berkenaan.

"Ramai yang tidak mahu keluar dari sini dan menangis. Malah ada yang cuba melarikan diri, tetapi polis berjaya mengawal keadaan.

"Memang lega sangat apabila mereka keluar kerana jumlah mereka sudah terlalu ramai. Jika tidak dikawal, entah apa akan jadi.

"Dulu datang sedikit demi sedikit sahaja, tetapi sekarang sudah mula membawa saudara-mara, kawan-kawan, kemudian beranak pinak di sini," katanya.

Seorang lagi penduduk yang enggan dikenali berharap Pejabat Daerah dan Tanah mengambil tindakan terhadap pemilik rumah yang menyewakan kediaman mereka kepada etnik Rohingya.

Katanya, kebanyakan rumah di kawasan itu kosong selepas kejadian tsunami berikutan ramai penduduk berpindah ke rumah yang disediakan kerajaan tidak jauh dari situ.

"Bagaimanapun, masih ada beberapa penduduk yang menetap di sini dan ada juga yang sudah berpindah tetapi tidak mahu rumah mereka dibiarkan kosong, lalu menyewakannya kepada etnik Rohingya," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan