KULAI: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) belum menerima sebarang rayuan daripada Network School selepas lesen perniagaan syarikat itu dibatalkan minggu lalu, sekali gus menyaksikan operasinya kekal dihentikan sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata setakat ini tiada sebarang permohonan rayuan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.
"Batal terus. Senang cakap mereka ini 'illegal' (tidak sah). Kalau misal kata mereka tubuh syarikat lain dan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan, sudah tentu boleh (beroperasi), tetapi setakat ini tiada rayuanlah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Karnival TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Kerjaya Perbandaran Kulai 2026 di Dewan Raya Putra, Bandar Putra, di sini, hari ini.
Mohd Jafni berkata, tindakan MBIP dibuat selepas mendapati terdapat dua pelanggaran syarat pelesenan yang jelas dilakukan syarikat berkenaan.
"Di peringkat MBIP, seperti semua sedia maklum terdapat dua kesalahan secara nyata di situ. Satu, iklan, sudah tentulah tidak mematuhi syarat dan itu kita telah batalkan.
"Pada masa sama, lesen yang dimohon dengan apa yang ada di peringkat operasi mereka sangat berbeza dan mereka melanggar syarat lesen itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri terus mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu serta memberi jaminan bahawa Johor kekal sebagai negeri yang mesra pelabur.
Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu berkata, tindakan terhadap pemilik syarikat adalah di bawah bidang kuasa Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.
Rabu lalu, media melaporkan MBIP menutup dan menyita premis Network School di Forest City, Iskandar Puteri.
Sehari sebelum itu, MBIP mengumumkan pembatalan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) serta mengarahkan semua aktiviti syarikat berkenaan dihentikan berkuat kuasa 22 Julai selepas didapati melanggar beberapa syarat pelesenan.
Kerajaan Negeri Johor dalam satu kenyataan turut memaklumkan tindakan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Penuh Khas MBIP yang mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi syarat ditetapkan di bawah lesen perniagaan yang dikeluarkan.
























