PETALING JAYA: Enam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menculik seorang ahli perniagaan dan meminta RM8 juta sebagai tebusan di Dataran Sunway pada 16 Julai lalu.
A Ravichandran, 45; R Elanggovan, 45; M Jeyaraj, 43; Moses De Bretto John Patrick, 40; Ziyauddin, 33, dan Muhammad Afiq Safine, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Berdasarkan pertuduhan, kesemuanya didakwa secara bersama-sama tujuh individu lain yang masih bebas menculik Chui Kok Mun, 44, dengan niat meminta tebusan RM8 juta di sebuah restoran nasi kandar di Dataran Sunway di sini, jam 5.15 petang, 16 Julai lalu.
Enam lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire tidak menawarkan sebarang jaminan dengan berhujah kesalahan di bawah seksyen berkenaan tidak boleh dijamin.
"Dalam kes ini, ia juga membabitkan amaun yang besar iaitu RM8 juta selain peruntukkan hukuman adalah 30 hingga 40 tahun," katanya.
Peguam T Daneish dan S Vinesh yang mewakili Moses De Bretto merayu supaya anak guam mereka diberikan jaminan memandangkan ahli perniagaan minyak terpakai itu mempunyai tanggungan isteri serta dua anak masing-masing berusia 11 dan 9 tahun.
Sementara itu, tertuduh Ravichandran, Elanggovan dan Jeyaraj yang bekerja sebagai pekerja kedai cucian kenderaan pula diwakili peguam Kailash Sharma.
Kailash berkata Ravichandran mempunyai tanggungan isteri yang bekerja sebagai kerani berpendapatan RM1,800 serta tiga anak.
"Elanggovan adalah pencari nafkah tunggal dengan gaji RM1,500 sebulan, menanggung isteri dan tiga anak, manakala Jeyaraj menanggung isteri dan dua anak," katanya.
Ziyauddin dan Muhammad Afiq masing-masing tidak diwakili peguam turut merayu diberikan jaminan atas alasan masing-masing menanggung tiga dan enam anak yang masih kecil.
Hakim Dr Syahliza memutuskan tiada jaminan diberikan kepada semua tertuduh dan sebutan semula kes ditetapkan pada 11 September ini.
Pada 18 Julai lalu, media melaporkan seorang lelaki menjadi mangsa culik berjaya diselamatkan polis selepas dilarikan sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu, sebelum ini dilaporkan berkata, mangsa diselamatkan menerusi operasi khas di sebuah unit kediaman di kawasan Shah Alam pada jam 1 pagi.
Terdahulu, enam tertuduh terbabit tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jam 9.30 pagi menaiki dua van dalam keadaan bergari dan dikawal ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah yang lengkap bersenjata.
























