BH Online
Ringkasan Berita

Aduan tidak menerima maklum balas selepas laporan polis paling banyak diterima IPCC

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) merekodkan aduan paling tinggi diterima berkaitan pengadu tidak menerima sebarang maklum balas mengenai aduan mereka terhadap polis.
Aduan tidak menerima maklum balas selepas laporan polis paling banyak diterima IPCC

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyampaikan sijil pengiktirafan Projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Komisioner Polis, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) - NSTP/NUR LIYANA MOHD NOORZALLY

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) merekodkan aduan paling tinggi diterima berkaitan pengadu tidak menerima sebarang maklum balas mengenai aduan mereka terhadap polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata aduan itu menyumbang kepada keseluruhan 1,635 aduan daripada orang ramai sejak mula beroperasi pada 2023 hingga 24 Julai lalu.

Daripada jumlah itu, beliau berkata sebanyak 844 aduan atau 76 peratus diselesaikan, manakala 372 aduan diterima bagi tahun ini.

Katanya, baki aduan yang masih belum selesai termasuk kes membabitkan pengadu yang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan atau tidak menerima sebarang maklum balas selepas membuat aduan kepada pihak polis.

"Tapi kena faham, bagaimana IPCC berfungsi, IPCC terima semua aduan tetapi ada pembahagiannya. Kalau ada elemen rasuah, IPCC akan salurkan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan penyerahan poster aduan IPCC sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh integriti dan akauntabiliti anggota polis melalui kerjasama strategik pelbagai pihak.

Poster berkenaan akan dipamerkan di sudut informasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan IPCC serta saluran aduan yang disediakan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata tindakan PDRM menahan 12 anggotanya yang disyaki terbabit dalam kes memeras ugut seorang lelaki warga asing membuktikan pihak penguat kuasa tidak berkompromi terhadap salah laku dalam kalangan anggotanya sendiri.

"Hakikat bahawa pihak polis menangkap, menahan dan mengambil tindakan, ini

adalah mesej yang jelas bahawa PDRM tidak akan sama sekali bertolak ansur, sekali pun terhadap anggotanya sendiri," katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan penahanan 12 anggota polis pelbagai pangkat selepas dipercayai memeras ugut seorang lelaki warga Vanuatu sebanyak RM2 juta.

Video Terkini

Berita Berkaitan