BH Online
Ringkasan Berita

Pusat kesihatan sediakan khidmat wanita asing urut badan diserbu

KUALA TERENGGANU: Rahsia sebuah pusat kesihatan yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan terbongkar apabila pengusaha premis itu turut menyediakan wanita warga asing untuk urutan badan.
Pusat kesihatan sediakan khidmat wanita asing urut badan diserbu

Mohd Yusri (kanan) serta pegawai imigresen memeriksa dokumen warga asing ketika serbuan di sebuah pusat kesihatan, semalam. FOTO/BAHAROM BAKAR.

KUALA TERENGGANU: Rahsia sebuah pusat kesihatan yang menjadi tumpuan masyarakat tempatan terbongkar apabila pengusaha premis itu turut menyediakan wanita warga asing untuk urutan badan.

Kegiatan itu terbongkar apabila Jabatan Imigresen menggempur pusat kesihatan yang terletak di Jalan Kampung Dalam, kira-kira jam 9.30 malam.

Difahamkan, ketika serbuan, lebih 10 pelanggan berada dalam premis dipercayai sedang menunggu giliran untuk melakukan urutan badan.

Sebelum serbuan dilakukan, beberapa pegawai penguat kuasa Imigresen melakukan penyamaran dan mendapati beberapa wanita tukang urut berpakaian seksi berada dalam premis berkenaan.

Pengarah Imigresen negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, enam wanita terdiri daripada empat warga China dan dua Thailand berusia antara 20 tahun dan 32 tahun ditahan atas kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, wanita warga China dan Thailand itu ditahan atas kesalahan tidak memiliki pas atau permit yang sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Wanita berkenaan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Ajil untuk siasatan lanjut.

"Seorang warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an disyaki pengusaha pusat kesihatan itu turut diberi notis hadir ke Imigresen negeri atas kesalahan melindungi dan menggaji warga asing," katanya ketika ditemui hari ini.

Turut menyertai Ops Gegar, Ops Sapu dan Ops Selera di sekitar Kuala Terengganu selama 10 jam bermula kira-kira jam 8 malam adalah Timbalan Pengarah Imigresen negeri (Kawalan), Mat Amin Hassan.

Mohd Yusri berkata, seramai enam lagi individu warga asing ditahan ketika operasi yang sama diadakan di dua restoran di Kampung Manir dan sebuah kediaman di Kampung Batu Burok.

Katanya, warga asing yang ditahan ketika operasi itu dilakukan adalah tiga dan dua wanita warga Thailand dan seorang lelaki Myanmar, berusia antara 20 tahun dan 63 tahun.

"Sepanjang operasi diadakan, seramai 76 individu warga asing diperiksa dan 12 daripada mereka termasuk tukang urut ditahan.

"Kita juga mengeluarkan empat surat tunjuk sebab kepada warga tempatan kerana melindungi dan menggaji warga asing," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan