BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: Kuih tradisi apam Johol makin dapat permintaan tinggi

KUALA PILAH: Keunikan apam Johol yang dibungkus menggunakan daun rambai menyebabkan kuih tradisi Negeri Sembilan itu menjadi kegemaran ramai.
PRN Negeri Sembilan: Kuih tradisi apam Johol makin dapat permintaan tinggi

Pembuat kuih Apam Johol, Zahariah Mohamed Zin, 57, menunjukkan proses membuat kuih tradisi berkenaan. -

KUALA PILAH: Keunikan apam Johol yang dibungkus menggunakan daun rambai menyebabkan kuih tradisi Negeri Sembilan itu menjadi kegemaran ramai.

Populariti kuih tradisional itu menyebabkan ramai mahu menghasilkan kuih itu bagi memenuhi permintaan tinggi terutama pada musim perayaan dan ketika kempen pilihan raya.

Pembuat kuih berkenaan, Zahariah Mohamed Zin, 57, berkata, kuih tradisional itu dikatakan berasal dari Johol kerana terdapat banyak pengusaha dan pembuat makanan itu tinggal di kawasan ini.

"Pada mulanya, kuih ini selalu dihidangkan pada majlis jamuan sekitar kawasan Johol dan daerah Kuala Pilah sahaja.

"Namun apabila ada pihak yang mahu mengadakan majlis atau keraian, kuih ini akan ditempah dari beberapa orang pengusahanya di Johol," katanya ketika ditemui di Johol, di sini.

Memandangkan kuih itu mendapat sambutan baik dan mula digemari, katanya, apam johol kemudian mendapat perhatian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Roslan Md Yusof.

"Allahyarham meminta pengusaha kuih itu seperti saya untuk mengekalkan ciri-ciri tradisi kuih berkenaan termasuk pembungkusannya menggunakan daun rambai.

"Ia tidak hanya terhad dari segi penggunaan daun rambai tetapi juga warna, tepung yang digunakan dan jenis gula," katanya yang berpengalaman lebih 23 tahun membuat kuih berkenaan.

Beliau berkata, populariti kuih itu menyebabkan kehadiran peniaga menjual apam Johol ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

"Sekarang kita lihat ada ramai pembuat kuih ini bukan sahaja di Johol tetapi juga luar Negeri Sembilan kerana mendapat permintaan tinggi.

"Namun, saya agak kecewa apabila ramai pembuat kuih itu yang mengubah keunikan apam Johol dengan membungkusnya menggunakan daun pisang bagi menggantikan daun rambai," katanya.

Beliau tidak mempunyai masalah untuk mencari bahan utama kuih berkenaan iaitu daun rambai kerana mempunyai kebun tanaman daun terbabit.

"Memandangkan saya mempunyai sumber (daun rambai) yang mencukupi, ada dua anak saya yang mengikut jejak saya menjual apam Johol.

"Saya mahu warisan apam Johol terpelihara. Disebabkan itu, saya mahu ada anak saya mewarisi resipi asli supaya generasi akan datang dapat merasai keunikan kuih ini," katanya.

Beliau kini memiliki tiga cawangan tempahan apam Johol dengan dua daripadanya dijalankan dua anaknya masing-masing di Sendayan dan Pekan Air Mawang selain rumahnya di Kampung Masjid Tua.

"Mula-mula saya jual dulu, harganya 50 sen sebiji. Kini harganya 70 sen sebiji memandangkan berlaku peningkatan harga bahan mentah.

"Kami beroperasi dari rumah dan hanya menerima tempahan daripada individu, agensi kerajaan, hotel serta katering. Jika dulu kami hanya terima tempahan puluhan (kuih), kini tempahan kami mencecah ratusan pada satu-satu masa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan