BH Online
Ringkasan Berita

PRNNS: PH komited teruskan skim Rumah Harapan Rakyat tanpa faedah - Aminuddin

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) komited meneruskan skim Rumah Harapan Rakyat (RHR) tanpa faedah bagi membantu lebih ramai rakyat Negeri Sembilan memiliki kediaman sendiri, jika diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan (PRN) ke-16.
PRNNS: PH komited teruskan skim Rumah Harapan Rakyat tanpa faedah - Aminuddin

Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga calon PH DUN Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika program ramah mesra bersama penduduk Kampung Segenting, Port Dickson, hari ini. - FOTO TVN / FAHMI TAJUDDIN

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) komited meneruskan skim Rumah Harapan Rakyat (RHR) tanpa faedah bagi membantu lebih ramai rakyat Negeri Sembilan memiliki kediaman sendiri, jika diberi mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan (PRN) ke-16.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata skim itu membolehkan rumah dibina di atas tanah milik sendiri atau tanah milik keluarga dengan kebenaran pemilik, sekali gus memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pada kos lebih mampu milik.

Beliau berkata, RHR ditawarkan pada harga sekitar RM85,000 bergantung kepada kos semasa, selain pembeli tidak dikenakan sebarang faedah sehingga bayaran diselesaikan sepenuhnya.

"Selain kerjasama dengan pihak swasta membina rumah mampu milik, kerajaan negeri menyediakan Rumah Harapan yang boleh dibina di tanah sendiri atau tanah milik keluarga dengan kebenaran.

"Yang penting, rumah ini disediakan tanpa sebarang faedah sehingga mereka habis membuat bayaran," katanya ketika ditemui selepas program ramah mesra bersama penduduk Kampung Segenting, di sini, hari ini.

Aminuddin yang juga calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, skim itu adalah antara inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan rakyat di bandar dan luar bandar mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri.

Katanya, inisiatif berkenaan mampu menghidupkan semula kawasan kampung dengan menggalakkan lebih ramai penduduk, khususnya golongan muda, kembali menetap di kampung halaman.

"Kita mahu hidupkan suasana kampung dengan lebih ceria lagi, dengan lebih ramai yang balik tinggal di kampung. Ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pembangunan bandar, malah membangunkan kampung supaya tidak ditinggalkan masyarakat," katanya.

Beliau berkata, penyediaan RHR melengkapkan pelbagai inisiatif perumahan lain yang ditawarkan PH, termasuk Rumah Mampu Milik (RMM) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) hasil kerjasama kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan serta pemaju swasta.

Mengulas sasaran pembinaan 20,000 rumah mampu milik yang terkandung dalam manifesto PH, Aminuddin berkata, jumlah itu merangkumi semua kategori perumahan termasuk RMM, RHR, PPR serta projek di bawah agensi perumahan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sudah memperoleh kelulusan pembinaan PPR di beberapa lokasi termasuk di Nilai membabitkan projek rumah bertingkat, selain kediaman bertanah di Linggi dan Johol.

Selain itu, Aminuddin juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera berhubung dakwaan kenyataan berbaur isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) yang tular di media sosial.

Beliau berkata, sebarang cubaan mengheret institusi diraja dalam kempen PRN Negeri Sembilan tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

"Saya menggesa kepada pihak berkuasa, apabila isu 3R ini, supaya diambil tindakan segera.

"Kita tidak ingin perpecahan yang membuat pertuduhan, hinggakan perkara istana pun dibawa dalam pilihan raya kali ini," katanya mengulas video tular berdurasi 27 saat yang didakwa memaparkan seorang individu dipercayai Ketua Penerangan UMNO Rembau, Shukri Samsudin, mengeluarkan kenyataan berkaitan DAP dan institusi diraja.

Aminuddin berkata, pihak penguat kuasa perlu bertindak tegas bagi memastikan tidak wujud pihak yang mengapi-apikan sentimen sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri itu.

"Kita tidak ingin melahirkan golongan yang menjadi penghasut kepada perpecahan di Negeri Sembilan ini. Saya berharap bahawa pihak penguatkuasa, pihak yang berwajib, ambil tindakan segera," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan