BH Online
Ringkasan Berita

F1 Bahrain di SIC jana manfaat ekonomi kepada negara - Ahmad Zahid

SEPANG: Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Malaysia pada Oktober ini dijangka memberi limpahan ekonomi jangka sederhana dan panjang kepada Malaysia menerusi peningkatan ketibaan pelancong serta pendedahan global yang mampu menarik lebih banyak pelaburan dan acara bertaraf dunia kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
F1 Bahrain di SIC jana manfaat ekonomi kepada negara - Ahmad Zahid

Gambar hiasan

SEPANG: Penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain Gulf Air di Malaysia pada Oktober ini dijangka memberi limpahan ekonomi jangka sederhana dan panjang kepada Malaysia menerusi peningkatan ketibaan pelancong serta pendedahan global yang mampu menarik lebih banyak pelaburan dan acara bertaraf dunia kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun kos penganjuran ditanggung Bahrain, Malaysia tetap memperoleh manfaat ekonomi kerana perlumbaan itu akan disaksikan oleh jutaan penonton di seluruh dunia selain memperkukuh kedudukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai litar bertaraf dunia.

"Walaupun kita tahu perbelanjaannya besar, ini ditanggung oleh Bahrain. Kesan ekonomi bukan hanya dapat dilihat dari segi kehadiran pelancong, tetapi juga daripada liputan media dan acara di seluruh dunia kerana penonton dan khalayaknya ialah berjumlah bilion orang.

"Ini akan memberikan kesan jangka sederhana dan panjang kepada negara kerana SIC mempunyai kemudahan bertaraf dunia yang selama ini tidak digunakan sepenuhnya kecuali untuk MotoGP," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.

Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Bahrain di SIC dari 2 hingga 4 Oktober ini tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Perlumbaan itu akan berlangsung di antara GP Azerbaijan dan GP Singapura dalam kalendar F1.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kejayaan menjadi tuan rumah F1 Bahrain itu juga boleh membuka ruang kepada Malaysia untuk kembali menganjurkan F1 pada masa depan dengan sokongan kerajaan dan penajaan sektor korporat.

"Saya harap untuk tahun-tahun mendatang Malaysia dapat memperuntukkan dana tertentu serta memperoleh penajaan syarikat supaya F1 dapat dianjurkan semula di negara ini.

"Untuk MotoGP umpamanya, Kabinet atas arahan Perdana Menteri memutuskan bahawa ia bukan hanya ditanggung oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui peruntukan Kementerian Kewangan, tetapi membabitkan projek pembangunan, penajaan dan penganjuran secara bersama menggunakan pendekatan perkongsian bijak," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan