MELAKA: Kekurangan kemudahan latihan bukan penghalang buat seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Limbongan mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Dunia School World Championship di Russia baru-baru ini.
Muhammad Kahfi Mohd Loqm, 12, membuktikan kesungguhan dan minatnya dalam sukan Muay Thai apabila menamatkan saingan dengan pingat gangsa pada penampilan sulungnya di kejohanan bertaraf dunia itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia.
Bapanya yang juga jurulatih, Mohd Loqman Mohd Salleh, 41, berkata kejayaan itu cukup bermakna memandangkan Kahfi perlu bersaing dengan atlet muda dari pelbagai negara.
Katanya, pencapaian anak kedua daripada lima beradik itu membuktikan kemudahan latihan bukan satu-satunya faktor yang menentukan kejayaan, sebaliknya disiplin, minat dan kesungguhan menjadi asas penting dalam membentuk seorang atlet.

"Buat masa ini kami masih belum mempunyai pusat latihan khas dan kebanyakan latihan dilakukan di rumah di Kampung Kolam Limbongan, di kawasan terbuka atau di mana sahaja mengikut kesesuaian.
"Walaupun serba kekurangan dari segi kemudahan, Kahfi tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai alasan dan dia tetap berlatih bersungguh-sungguh," katanya.
Beliau berkata, pingat gangsa yang dibawa pulang dari Russia itu adalah hasil usaha keras dan pengorbanan yang dilakukan selama ini.
Katanya, Kahfi tewas kepada lawan berusia 14 tahun dalam kejohanan berkenaan, namun pengalaman berdepan atlet yang lebih berusia memberi banyak pengajaran kepadanya.
"Ini kali pertama Kahfi mendapat pingat dalam kejohanan dunia seperti ini.
"Walaupun tidak mara ke peringkat akhir, dia sudah memberikan aksi terbaik dan membuktikan mampu bersaing dengan peserta dari negara lain," katanya.
Mohd Loqman berkata, kejayaan itu turut membuka peluang baharu apabila Kahfi ditawarkan oleh Persatuan Muay Thai Negeri Sembilan untuk menyertai program pembangunan bakat muda negeri itu yang dijangka bermula Ogos ini.
"Secara tidak langsung ia menjadi suntikan semangat buat Kahfi untuk terus mengembangkan bakat dalam sukan Muay Thai dan mengejar impian lebih besar pada masa hadapan," katanya.
























