BH Online
Ringkasan Berita

Legasi Ayob Khan akan terus jadi inspirasi warga PDRM - KPN

PETALING JAYA: Legasi kepemimpinan, integriti dan profesionalisme yang ditinggalkan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan amanah kepada agama, bangsa dan negara.
Legasi Ayob Khan akan terus jadi inspirasi warga PDRM - KPN

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini semalam. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Legasi kepemimpinan, integriti dan profesionalisme yang ditinggalkan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan amanah kepada agama, bangsa dan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata Ayob Khan sepanjang 35 tahun perkhidmatannya dikenali sebagai pemimpin yang tegas dan lantang dalam menegakkan undang-undang serta sentiasa berpegang kepada prinsip integriti tanpa mengira pangkat atau darjat.

Beliau berkata, pemilihan tema Leadership Defined, Legacy Endures pada Majlis Malam Mes 'Dining Out' anjuran Mes Pegawai Kanan PDRM di sebuah hotel di sini, malam tadi, melambangkan penghormatan terhadap kepimpinan serta sumbangan besar Ayob Khan kepada pasukan.

"Pemilihan tema pada majlis ini membawa pengertian bahawa kepemimpinan membentuk jati diri seorang pemimpin, manakala nilai, prinsip dan sumbangan yang ditinggalkan akan terus hidup sebagai legasi yang menginspirasikan generasi penerus PDRM.

"Nilai kepemimpinan yang dipamerkan Tan Sri Ayob Khan sepanjang perkhidmatannya akan terus menjadi inspirasi dan panduan kepada seluruh warga Sang Saka Biru dalam melaksanakan amanah kepada agama, bangsa dan negara," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan kepada Ayob Khan yang menamatkan perkhidmatan selepas 35 tahun berbakti dalam pasukan. Turut hadir ialah isteri Ketua Polis Negara, Puan Sri Dr Munirah Che Rose selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia.

Dalam ucapan balasnya, Ayob Khan menitipkan pesanan kepada seluruh warga PDRM supaya sentiasa mengutamakan keadilan dan tidak terlalu mengejar kedudukan.

"Jangan terlalu sibuk mengejar siapa yang duduk di atas sehingga terlupa siapa yang sedang memandang dari bawah.

"Masyarakat tidak menilai berapa banyak bintang di bahu kita. Mereka menilai sejauh mana kita berlaku adil," katanya.

Majlis itu turut diserikan dengan tayangan video khas yang mengimbau perjalanan kerjaya serta sumbangan Ayob Khan sepanjang 35 tahun berkhidmat, selain penyampaian cenderamata penghargaan sebagai simbol penghormatan atas jasa, pengorbanan dan khidmat baktinya.

Turut hadir, Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara merangkap Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Ibrahim Darus bersama isteri, Datin Seri Zanilatul Kamariah Zakaria, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis Sabah dan Sarawak, barisan Ketua Polis Negeri serta pesara PDRM.

Video Terkini

Berita Berkaitan