BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Hormati bahan kempen lawan, jangan sabotaj - Tok Mat

REMBAU: Penyokong parti terus diingatkan supaya tidak mengganggu atau merosakkan bahan kempen pihak lawan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
PRN NS: Hormati bahan kempen lawan, jangan sabotaj - Tok Mat

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Program di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Ekar, Rantau, malam tadi. - Foto NSTP/Mas Zharif Zhafri Aziz Desa.

REMBAU: Penyokong parti terus diingatkan supaya tidak mengganggu atau merosakkan bahan kempen pihak lawan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata banyak laporan daripada pihak berkuasa mengenai kejadian sabotaj terhadap bahan kempen di beberapa kawasan.

"Saya dapat banyak laporan daripada polis dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan, bukan di sini di Rantau, tapi banyak kawasan Negeri Sembilan, bahan-bahan kempen, bendera, poster dan juga bunting (gegantung).

"Bukan sahaja pihak sebelah tapi Barisan Nasional pun banyak yang disabotaj," katanya ketika berucap pada Program Di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Ekar di Rantau, di sini, malam tadi.

Mohamad mengingatkan semua bahan kempen yang dipasang dalam tempoh yang diwartakan perlu dihormati dan tidak sepatutnya disentuh oleh mana-mana pihak.

"Saya mohon, saya minta supaya kita jangan mengganggu bahan kempen pihak sebelah, pihak lawan kita.

"Dalam waktu yang diwartakan ini sehingga hari pengundian, 1 Ogos, bahan kempen ini adalah yang diwartakan, jangan usik," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga calon BN bagi DUN Rantau turut mahu penyokongnya di Rantau menjaga keharmonian sepanjang tempoh berkempen dan menunjukkan amalan demokrasi yang matang.

"Jadi kita di Rantau jaga nama baik kita. Ini kawasan Rantau, kawasan saya.

"Saya harap kawan-kawan semua jaga keharmonian kita, kita mengamalkan demokrasi yang matang, yang baik.

"Kita pastikan bahawa kita nak buktikan bahawa Barisan Nasional adalah lebih baik daripada parti-parti lain," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata sebanyak 14 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya dibuka setakat semalam, antaranya membabitkan kes bendera parti dibakar serta gegantung dan papan iklan dirosakkan.

Video Terkini

Berita Berkaitan