KUALA LUMPUR: PAS menyalahkan laporan berita sebuah portal yang disifatkan menjadi pencetus kepada polemik dan kontroversi sejak beberapa hari lalu membabitkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata laporan yang didakwanya menggunakan petikan selektif itu dibuat bagi tujuan membentuk persepsi negatif ke atas pemimpin.
Lebih teruk lagi, beliau berkata laporan itu bukan sekadar memetik petikan tetapi turut mentafsirkannya sebagai satu penegasan tanpa konteks sebenar kononnya Malaysia tempat perlindungan bagi masyarakat pribumi, berbeza dengan kaum lain yang mempunyai negara asal masing-masing.
"Tafsiran editorial inilah yang mengukuhkan persepsi bahawa Muhammad Sanusi sedang mempersoalkan kedudukan rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, petikan diambil itu tanpa melihat dan memahami secara keseluruhan ucapan cuba dimaksudkan Muhammad Sanusi, termasuk menyentuh sejarah pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948 bagi menggantikan Malayan Union ketika itu.
"Bahagian ini penting menunjukkan Muhammad Sanusi tidak pernah menunjukkan sikap anti Cina atau India, apatah lagi mahukan rakyat Malaysia berketurunan Cina atau India meninggalkan Malaysia. Fokus ucapannya pada kebimbangannya kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu, bukannya kepada penafian kewarganegaraan kaum lain.
"Dengan tidak memasukkan bahagian toleransi itu serta rujukan kedua lebih jelas menghubungkan hujahnya dengan sejarah Persekutuan Tanah Melayu, laporan berkenaan meninggalkan ruang besar untuk pembaca mentafsirkan bahawa 'Cina ada China' bermaksud rakyat Malaysia berketurunan Cina sepatutnya menganggap China sebagai tanah air mereka.
"Inilah perbezaan antara petikan tepat dengan gambaran lengkap. Sesuatu petikan boleh jadi masih benar secara literal tetapi ia juga boleh menghasilkan satu persepsi yang mengelirukan apabila ayat sebelum dan selepasnya tidak disertakan," katanya.
Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendakwa kenyataannya itu diputarbelitkan selain menyatakan kesediaan mengambil tindakan undang-undang serta membuat laporan polis terhadap pihak yang menurutnya memesongkan ucapan berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata petikan disampaikan Muhammad Sanusi dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan itu juga pernah dinyatakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, selain petikan yang membawa maksud sama juga pernah dizahirkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Justeru, beliau berkata, penyelesaian yang baik ke atas isu ini boleh dibuat melalui tiga tindakan, iaitu portal berita berkenaan menjelaskan konteks laporan, Muhamaad Sanusi menerangkan maksudnya secara terus dan semua pihak pula perlu menilai rakaman penuh sebelum membuat tuduhan.
"Kebebasan media perlu dipertahankan, tetapi kebebasan itu mesti disertai dengan ketepatan, konteks dan akauntabiliti. Begitu juga kebebasan berpolitik mesti disertai dengan kecermatan di dalam bertutur kata.
"Dalam masyarakat majmuk, satu tajuk yang tidak seimbang dan satu ungkapan yang kurang cermat sama-sama boleh mencetuskan salah faham," katanya.
























