BH Online
Ringkasan Berita

Reformasi undang-undang, institusi perlu 'dirakyatkan' dengan komunikasi berkesan - Penyelidik

PUTRAJAYA: Reformasi undang-undang dan institusi yang dilaksanakan kerajaan perlu ‘dirakyatkan’ menerusi pelan komunikasi yang lebih menyeluruh, supaya rakyat memahami perubahan yang dilakukan, sekali gus membantu meningkatkan persepsi terhadap kedaulatan undang-undang negara.
Reformasi undang-undang, institusi perlu 'dirakyatkan' dengan komunikasi berkesan - Penyelidik

Prof Dr R Ramalinggam. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Reformasi undang-undang dan institusi yang dilaksanakan kerajaan perlu 'dirakyatkan' menerusi pelan komunikasi yang lebih menyeluruh, supaya rakyat memahami perubahan yang dilakukan, sekali gus membantu meningkatkan persepsi terhadap kedaulatan undang-undang negara.

Ketua Penyelidik Kajian Undang-Undang berkaitan dengan Indeks Kedaulatan Undang-Undang Malaysia, Prof Dr R. Ramalinggam, berkata kajian mendapati, kebanyakan rakyat termasuk kumpulan pakar yang menjadi antara sumber penilaian indeks antarabangsa, masih tidak mengetahui reformasi yang telah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan.

"Perkara yang paling utama yang kami lihat sepanjang kajian ini ialah pelan komunikasi yang perlu sampai ke tahap (peringkat) rakyat. Apa-apa reformasi yang kita lakukan mestilah dirakyatkan sepenuhnya.

"Kalau mereka tidak tahu apa yang berlaku, maka persepsi tidak akan berubah. Bagi mengubah persepsi, strategi mesti diatur," katanya dalam temu bual bersama dengan Bernama baru-baru ini.

Ramalinggam, yang juga pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia (MMU) berkata pelan komunikasi itu perlu melibatkan semua peringkat kerajaan, termasuk Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain institusi berkaitan, media serta masyarakat.

Beliau berkata penyampaian maklumat tentang reformasi, tidak seharusnya terhad kepada sidang media atau persidangan Parlimen, sebaliknya perlu dipelbagaikan mengikut kelompok sasaran melalui infografik, video pendek, audio siar, media sosial serta program turun padang.

Ramalinggam berkata kajian turut mendapati, sebahagian besar daripada responden tidak mengetahui pembaharuan yang telah dilaksanakan, sekali gus menyebabkan persepsi tentang usaha reformasi tidak berubah walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan.

"Jangan sebut orang awam, rata-ratanya golongan QRQ atau Qualified Respondents' Questionnaire sendiri pun, tidak tahu sebenarnya apakah reformasi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

Beliau menggariskan bahawa perubahan persepsi tidak berlaku serta-merta, kerana pelaksanaan sesuatu undang-undang memerlukan masa sebelum impaknya dapat dirasai masyarakat.

Sebaliknya, Ramalinggam berkata proses pelaksanaan melibatkan siasatan, tindakan undang-undang, pendakwaan, perbicaraan dengan keberkesanan lazimnya hanya dapat dinilai selepas tempoh lima hingga 10 tahun.

Dalam menyokong usaha untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam indeks antarabangsa, termasuk Indeks Kedaulatan Undang-Undang dan Indeks Persepsi Rasuah (CPI), beliau berkata pelan komunikasi yang berkesan perlu disokong oleh penyampaian yang lebih mudah difahami.

Ramalinggam berkata kandungan berkaitan dengan reformasi, perlu disampaikan dalam bahasa yang lebih dekat dengan masyarakat dan memanfaatkan platform digital yang menjadi sumber maklumat utama rakyat ketika ini.

"Media sosial, sama ada sedar atau tidak, telah menjadi satu negara dalam konteks media. Facebook, TikTok, Instagram, Threads dan apa-apa jua pelantar yang ada ini perlu dioptimumkan.

"Bila kita buat video, biarlah sesuai dengan golongan sasaran. Kalau golongan muda, pastikan disampaikan dengan bahasa yang bersahaja, semua orang boleh faham dan boleh menghayatinya," katanya. – BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan