KUALA LUMPUR: Sepanjang 3,285 kilometer (km) daripada keseluruhan garisan pantai negara terjejas dan mengalami ancaman hakisan serius dalam tempoh tujuh kebelakangan antara 2018 hingga 2025.
Daripada jumlah itu, hakisan pantai di Sarawak dan Pahang membabitkan kawasan 1,244km kira-kira 38 peratus daripada keseluruhan garis hakisan pantai negara.
Garis pantai di Malaysia dianggarkan sepanjang 7,856km dengan Semenanjung mempunyai garis pantai 2,788km, manakala Sabah mempunyai 3,834km dan Sarawak sepanjang 1,234km.
Menurut data Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Sarawak dan Pahang adalah negeri yang paling banyak terjejas.
Sarawak mencatatkan jumlah garisan pantai terjejas paling panjang, iaitu sejauh 94km, yang dianalisis membabitkan dua zon utama, iaitu Kuching-Betong sepanjang 393km dan Sarikei-Limbang sepanjang 552km.
Sementara itu, Pahang pula merekodkan garisan pantai terjejas sepanjang 299km, sekali gus menjadikannya negeri yang mempunyai bilangan lokasi hakisan kategori kritikal tertinggi di Semenanjung.
Antara kawasan pantai dikesan terjejas dan mengalami ancaman hakisan serius di Pahang termasuklah Pantai Cherating, Pantai Balok, Pantai Teluk Chempedak, Pantai Kempadang, Pantai Sepat, dan Pantai Cherok Paloh di daerah Kuantan.
Selain itu, fenomena alam itu turut membabitkan Pantai Tanjung Batu dan Kampung Merchong di daerah Pekan serta kawasan Pantai Kuala Rompin, Tanjung Gemok dan Pantai Kampung Mukut di Pulau Tioman, daerah Rompin.
Tahap hakisan berbezaÂ
Tahap hakisan di pantai ini dilaporkan berbeza mengikut lokasi melalui penilaian semasa dijalankan.
Hakisan pantai bagi Kedah membabitkan garisan pantai sepanjang 440km, diikuti Sabah bagi 470km di zon Tuaran-Kudat dan di Terengganu kawasan hakisan sepanjang 350km.
Di Johor hakisan pantai di wilayah Pantai Timur membabitkan kawasan pesisiran pantai sepanjang 310km, manakala di Perak sejauh 265km, Melaka (104km), Kelantan (76km) dan Perlis sepanjang 26km.
Secara keseluruhannya, hakisan pantai itu membabitkan 704 kawasan pantai di seluruh negara.
Bagi menguruskan situasi itu secara sistematik, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) melaksanakan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) yang mengklasifikasikan semua 704 lokasi terjejas kepada tiga kategori utama iaitu Kategori 1 (Kritikal), Kategori 2 (Ketara) dan Kategori 3 (Belum Serius).
Pembahagian itu dibuat bersandarkan kadar pengunduran garis pantai, kepadatan penduduk, serta tahap kepentingan infrastruktur awam di setiap kawasan berkenaan.
Daripada 704 lokasi terjejas itu, sebanyak 46 lokasi atau 6.5 peratus diklasifikasikan sebagai Kategori 1 (kritikal), iaitu kawasan yang mengalami pengunduran garis pantai melebihi 4 meter setahun di kawasan padat penduduk serta mempunyai aktiviti komersial atau industri.
Pahang mencatatkan bilangan tertinggi dalam kategori kritikal ini dengan 22 lokasi, diikuti Terengganu babitkan enam lokasi, Kedah dan Sarawak masing-masing empat kawasan, Johor dan Sabah masing-masing catatkan tiga lokasi manakala dua lokasi dicatatkan di Kelantan, Perak dan Melaka.
Bagi Kategori 2 (ketara),183 lokasi atau 26 peratus kawasan dikenal pasti mengalami pengunduran garis pantai antara 1 hingga 4 meter setahun di kawasan berpenduduk tidak padat.
Dalam kategori sama, Sarawak mencatatkan 79 lokasi; 50 di Kuching-Betong dan 29 di Sarikei-Limbang; diikuti Pahang di 35 lokasi; Melaka 32 lokasi; Sabah Tuaran-Kudat 11 lokasi; Terengganu 10 lokasi; Perak (sembilan lokasi), Kelantan (tiga lokasi), serta Kedah dan Johor Pantai Timur masing-masing dengan dua lokasi.
Sementara itu, baki 475 lokasi atau 67.5 peratus lagi berada dalam Kategori 3 (belum serius) dengan kadar hakisan kurang satu meter setahun di kawasan tanpa penempatan, yang mana Sarawak merekodkan lokasi tertinggi, iaitu sebanyak 305 lokasi terjejas.
Bagi mendepani realiti itu, JPS bersama-sama agensi kerajaan lain merangka tindakan intervensi dan mitigasi bersasarkan kategori hakisan pantai.
Bagi kawasan Pantai Kategori 1, JPS menerapkan pendekatan struktur kawalan fizikal yang agresif seperti pembinaan lapis lindung batu bagi melindungi aset dan penempatan penduduk.
Bagi kawasan Kategori 2 dan Kategori 3, pendekatan bukan struktur dilaksanakan melalui pemantauan berterusan serta kaedah anjakan pembangunan bagi mengawal dan mengurus sebarang aktiviti di pesisir pantai secara lestari.
PETRA memaklumkan pemantauan dan pengurusan hakisan pantai di negara ini dilaksanakan secara bersepadu membabitkan pelbagai agensi kerajaan mengikut bidang kuasa dan fungsi masing-masing.
























