BH Online
Ringkasan Berita

Ancaman senyap jenayah peniruan

KUALA LUMPUR: Jenayah peniruan atau imitation crime yang tercetus akibat pendedahan berulang kepada kandungan keganasan dalam talian kini dilihat sebagai cabaran baharu yang semakin membimbangkan.
Ancaman senyap jenayah peniruan

NVE menyasarkan golongan rentan disebar menerusi ruang digital. Foto hiasan

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jenayah peniruan atau imitation crime yang tercetus akibat pendedahan berulang kepada kandungan keganasan dalam talian kini dilihat sebagai cabaran baharu yang semakin membimbangkan.

Lebih merisaukan adalah apabila ia mula mempengaruhi golongan remaja dan kanak-kanak yang berisiko terdorong meniru perlakuan berkenaan seperti kes serangan oleh pelajar sekolah di Petaling Jaya dan Banting, Selangor sebelum ini.

Timbalan Pengarah Pusat Kajian Keamanan, Dialog dan Xenofobia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad El-Muhammady, berkata pendedahan berterusan kepada insiden keganasan yang berlaku di tempat lain boleh mempengaruhi cara mentafsir dan bertindak terhadap rasa marah atau kekecewaan yang dialami.

ahmadell27
Timbalan Pengarah Pusat Kajian Keamanan, Dialog dan Xenofobia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Ahmad El-Muhammady

Katanya, sesetengah individu mungkin melihat tindakan ganas yang dilaporkan di media atau tersebar dalam talian sebagai satu bentuk cara meluahkan rasa tidak puas hati, sekali gus mendorong mereka meniru perbuatan berkenaan.

"Apabila seseorang terdedah kepada sesuatu perkara secara berulang, ia boleh memberi kesan kepada pemikiran mereka. Sebagai contoh, kes serangan di sekolah di negara kita mungkin mempunyai elemen jenayah peniruan, iaitu tindakan meniru serangan berlaku di lokasi lain.

"Individu terbabit mungkin mendapat idea selepas terdedah kepada laporan, video atau kandungan berkaitan serangan serupa yang berlaku di negara lain," katanya kepada BH.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, tidak semua tindakan sedemikian boleh terus dikategorikan sebagai keganasan terancang atau terorisme walaupun ia memang menyebabkan ketakutan dalam masyarakat.

"Ibu bapa mula mempersoalkan, sama ada sekolah masih menjadi tempat selamat untuk anak mereka. Namun, kita perlu faham isu ini lebih luas daripada sekadar keganasan. Ia berkait faktor psikologi, sosial dan normalisasi keganasan dalam gaming," katanya.

hiasgemm27
NVE menyasarkan golongan rentan disebar menerusi ruang digital. Foto hiasan

Larangan perlu penelitian

Mengulas cadangan menyekat permainan video tertentu yang mempunyai unsur ekstrem atau ganas, Ahmad El-Muhammady berkata, langkah sedemikian perlu disokong kajian menyeluruh, peruntukan sumber serta penguatkuasaan berkesan.

"Mengumumkan larangan semata-mata tidak memadai jika pelaksanaannya tidak diberikan keutamaan. Mudah untuk kata kita akan haramkan sesuatu perkara, persoalannya sejauh mana ia benar-benar dilaksanakan dan diberi keutamaan.

"Jika sesuatu perkara menjadi keutamaan, sumber perlu diperuntukkan untuk memastikan penguatkuasaan dapat dilakukan," katanya merujuk ancaman keganasan baharu dikenali 'Nihilistic Violent Extremism' (NVE).

Ekstremisme Keganasan Nihilistik, yang menyasarkan golongan rentan, terutama remaja serta kanak-kanak menerusi ruang digital, tidak lagi didorong oleh agenda politik atau agama seperti kumpulan pengganas konvensional.

Ia sebaliknya lahir daripada rasa kecewa, kebencian terhadap masyarakat dan kecenderungan melihat keganasan sebagai jalan meluahkan kemarahan atau dendam.

Lebih membimbangkan, generasi muda yang berdepan tekanan psikologi, pernah menjadi mangsa buli, berasa terasing atau bergelut dengan masalah emosi dikenal pasti paling mudah dipengaruhi NVE yang disebarkan melalui media sosial, permainan video dan pelbagai platform dalam talian.

Ahmad El-Muhammady berkata, usaha menangani ancaman NVE memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk sekolah, agensi kerajaan, ibu bapa dan komuniti bagi memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan sebelum lebih banyak kes berlaku.

Menurutnya, keselamatan sekolah perlu jadi agenda utama dengan penubuhan satu pasukan petugas khas bagi meneliti ancaman itu secara menyeluruh.

"Kita perlu menjadikan keselamatan sekolah sebagai keutamaan. Pasukan petugas khas perlu diwujudkan untuk melihat isu ini secara menyeluruh dan tindakan susulan perlu dilakukan kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan